10 PAGI – 7 MALAM Zon Tengah Paling Hangat!

BERMULA Disember lalu, pentas uji bakat Anugerah Hijabi Mestika musim ketiga dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya wanita berhijab, berusia 20 hingga 30 tahun yang mempunyai personaliti dan latar belakang pendidikan yang menarik serta paling penting memiliki x-factor yang tersendiri untuk diangkat sebagai ikon muslimah merebut gelaran juara Anugerah Hijabi Mestika 2017/2018.

Acara tradisi bagi mencari wajah penghias kulit majalah Hijab Fesyen ini dimulakan dengan siri jelajah di Zon Utara pada 16 Disember, Zon Timur pada 13 Januari, Zon Selatan pada 10 Februari dan berakhir di Zon Tengah yang baharu sahaja berlangsung di Wangsa Walk Mall, Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu.

Tiga juri yang diberi mandat untuk menilai persembahan para peserta di Zon Tengah terdiri daripada Penolong Pengarang Pengurusan Acara dan Promosi Utusan Karya Sdn. Bhd., Nur Aishah Ismail selaku ketua juri manakala pereka fesyen tersohor Azura Mazaruddin dan jurusolek selebriti terkemuka Tiar Zainal diundang sebagai juri jemputan.

Sesi pendaftaran dibuka lebih awal kali ini.

Sambutan luar biasa para peserta di Zon Tengah menghangatkan lagi majlis yang bermula pada jam 10 pagi dan tamat pada jam 7 petang. Seramai 40 peserta mempertaruhkan bakat masing-masing yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya.

Menariknya, kali ini para peserta memberikan persembahan yang sememangnya all out memandangkan ini adalah siri jelajah terakhir untuk musim ini. Pendek kata dari awal hingga akhir program, pengacara majlis, krew AHM, pihak juri dan juga penonton cukup terhibur dengan setiap persembahan bakat yang telah dipamerkan oleh para peserta.

Debaran para peserta uji bakat sebelum majlis bermula.

Sudah pasti mereka tidak mahu sekadar melepaskan batuk di tangga kerana matlamat utama menyertai uji bakat ini adalah untuk merebut tempat di peringkat akhir yang dijadualkan pada hujung tahun nanti.

Peserta yang berpesonaliti menarik, berkeyakinan, kreatif, mempunyai x-factor dan tampil dengan bakat yang unik serta hadir dengan pakej ‘beauty with brain’ mempunyai peluang cerah untuk disenaraikan ke peringkat akhir. Nantikan pengumuman nama-nama yang berjaya layak ke peringkat akhir dalam kemas kini terbaharu di Instagram @hijabfesyen_magz dan Facebook Hijab Fesyen.

Dayah Bakar, emcee paling sporting, bijak dan versatil.

Pentas uji bakat AHM meriah dengan pelbagai persembahan bakat daripada para peserta.

Siapakah di antara mereka yang berjaya mara ke peringkat akhir?
Syabas kepada team AHM yang bertungkus lumus memastikan majlis berjalan lancar.