AHM ZON TIMUR Variasi Bakat Hijabi Muda

KUANTAN Parade bergema dengan lantunan suara para peserta yang tampil dengan pelbagai bakat terpendam dan kreativiti semasa muncul di pentas uji bakat Zon Timur, Anugerah Hijabi Mestika (AHM) musim ketiga pada 13 Januari lalu sewaktu melaksanakan empat tugasan yang telah diberikan iaitu catwalk, pengenalan diri, ujian IQ dan ujian bakat.

Siri jelajah AHM ini turut memberi peluang kepada para hijabi dari tiga negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang menyerlahkan bakat mereka dalam pelbagai bidang. Kesemua peserta diadili oleh tiga juri yang terdiri daripada Penolong Pengarang Hijab Fesyen, Norma Ibrahim selaku Ketua Juri, Ketua Pegawai Eksekutif Secret Correa, Nor Azila Mohamad Azmi (CPA) dan Penolong Pengarang Pengurusan Acara dan Promosi Utusan Karya Sdn Bhd, Nur Aishah Ismail.

Para juri berpuas hati dengan persembahan peserta yang disifatkan cukup persediaan.

Selain peserta dari Pahang, wakil peserta dari Kelantan dan Terengganu yang sanggup turun ke Kuantan harus diberi pujian kerana menunjukkan komitmen yang cukup membanggakan.

Misi mencari ikon baharu untuk dinobatkan sebagai Hijabi Mestika musim ketiga akan meneruskan siri jelajah bagi Zon Selatan yang akan diadakan di Angsana Johor Bahru Mall pada 10 Februari dan Zon Tengah pada 10 Mac 2018. Juara akan membawa pulang hadiah utama wang tunai sebanyak RM10 ribu serta pelbagai hadiah sampingan dan menjadi Cover Girl majalah Hijab Fesyen. Kemas kini dan perkembangan lanjut tentang siri jelajah AHM boleh diikuti di laman sosial Instagram @hijabfesyen_magz serta Facebook: Hijab Fesyen.