KEBAHAGIAAN BAHARU Ardell Aryana

SAMPAI bila saya mahu macam ni? Mungkin ini petunjuk dan masa yang tepat untuk berubah..

Dipalit dengan pelbagai kontroversi dan mengundang fitnah serta kecaman netizen yang bagai tidak berpenghujung sehingga dituduh menyukai kaum sejenis,  dia nekad mahu berubah kerana Allah. Ironinya segala yang berlaku itu menjadi asbab yang menjentik-jentik hati gadis lasak, bergaya boyish dan berambut pendek ini untuk berubah menjadi lebih ‘wanita’. Berkisar tentang penampilan baharunya yang kian manis berhijab sejak akhir tahun lalu, Ardell Aryana, 28 meluah rahsia.

“Semasa berambut pendek dan bergaya seperti lelaki dulu, saya kerap menerima gangguan mesej-mesej pelik antaranya yang nak ajak bercinta. Bukan sahaja lelaki, perempuan pun ramai! Mereka DM saya di media sosial. Apabila saya sekat mereka, mereka kacau pula media sosial bisnes-bisnes saya. Semua tu buat saya jadi sangat takut. Tapi bila saya fikirkan balik, mungkin itu semua berpunca dari diri sendiri juga. Tanpa sedar saya sendiri yang membuka ruang untuk orang salah faham tentang diri saya dan berlakunya fitnah,” tutur Ardell.

Tular di media sosial ketika di awal penghijrahannya dan mendapat pujian para netizen, ada terselit risau yang bertandang di hati gadis ini. Menyedari bahawa tidak mudah untuk memuaskan hati semua orang. Masih bertatih, gadis kecil molek ini mengakui penampilan diri masih belum menutup aurat dengan sempurna dan banyak compang-campingnya walaupun sudah bertudung. Kongsinya, dia turut menghadiri kelas-kelas dan ceramah agama sebagai ‘tuisyen’ untuk dirinya. Tidak menafikan di awal perubahannya itu dia terpaksa kehilangan dan melepaskan empat buah drama dan telefilem, tapi dia tetap percaya bahawa rezekinya itu tidak akan pernah salah alamat.

Biarlah merangkak dan berjalan perlahan-lahan tetapi kekal, daripada terus berlari tapi kemudian berhenti di tengah jalan sebab tak tahan cacian orang…

BUKAN TERUS BERLARI TAPI..

“Hijrah tu bukan maksudnya perlu terus berlari. Biarlah merangkak dan berjalan perlahan-lahan tetapi kekal, daripada terus berlari tapi kemudian berhenti di tengah jalan sebab tak tahan cacian orang. Saya tak nak berubah secara drastik tapi kemudian tak boleh nak istiqamah. Nak istiqamah tu antara yang paling susah, sebab tu saya berbalik dan selalu ingatkan diri, saya berubah biarlah dengan niat kerana Allah. Bukan kerana orang lain, bukan sebab putus cinta, bukan kerana nak berkahwin atau sebagainya. In shaa Allah bila ikhlas kerana Allah, akan lebih mudah istiqamah,” tegas Ardell.

Itu juga metafora yang menjadi pegangan pelakon dan juga usahawan muda ini merujuk kepada transisi dirinya yang baru sahaja berhijab ini. Sebagai manusia biasa yang baru sahaja ingin berubah, dia mahu terus diberi ruang bernafas. Dia tidak mahu berubah secara drastik tetapi kemudian terhenti di tengah jalan. Menduga hijabi yang baru setahun jagung ini dengan persoalan tentang kontroversi hijabi terutama para pelakon yang kembali tidak berhijab setelah memilih untuk bertudung, gadis manis ini tenang memberi pandangannya.

Itu juga metafora yang menjadi pegangan pelakon dan juga usahawan muda ini merujuk kepada transisi dirinya yang baru sahaja berhijab ini. Sebagai manusia biasa yang baru sahaja ingin berubah, dia mahu terus diberi ruang bernafas. Dia tidak mahu berubah secara drastik tetapi kemudian terhenti di tengah jalan. Menduga hijabi yang baru setahun jagung ini dengan persoalan tentang kontroversi hijabi terutama para pelakon yang kembali tidak berhijab setelah memilih untuk bertudung, gadis manis ini tenang memberi pandangannya.