Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Kombinasi kreativiti membuatkan Jubahsouq unik berbanding dengan jenama-jenama yang lain. Walaupun fesyen muslimah menjadi nadi dalam bisnes yang diceburi, namun ironinya Jubahsouq ditunjangi dua jejaka berstatus bujang, Zack Amrul dan Amirudin Yatin. Lebih menarik, dua sahabat ini menambah nilai kepakaran mereka dalam bidang kejuruteraan untuk diterjemahkan dengan bijak ke pentas fesyen.

Menyentuh dari segi rekaan dan pengurusan syarikat, latar belakang kejuruteraan yang dipelajari Zack, 34, dan Amir, 35, banyak membantu mereka dalam menerajui empayar Jubahsouq. Baik Zack mahupun Amir, toleransi dan selalu berbincang dalam membuat keputusan bersama menjadi kunci kejayaan mereka.

“Secara jujur kami berdua mempunyai karakter yang sangat pemalu. Atas dasar itu kami memilih untuk berada di belakang tabir sahaja. Semakin lama, kami rasa lebih selesa untuk fokus kepada kerja, membuat design dan jualan. Kami lebih gemar mengetengahkan team Jubahsouq ke hadapan dengan memberi mereka ruang dan peluang untuk sama-sama membawa aspirasi Jubahsouq ke tahap yang lebih tinggi kerana kami percaya setiap orang mempunyai enthusiasm mereka sendiri,” ujar kedua-dua jejaka berwawasan ini.

Menyoroti kerjaya awal Zack dan Amir sebagai jurutera, di situlah bermulanya penubuhan Jubahsouq. 2010 menjadi titik mula di mana Zack yang bertugas di Dubai mendapati fesyen abaya dan jubah begitu popular di Dubai dan sekali gus mencetus idea untuk menjualnya di tanah air.

“Sementelah saya selalu mendapat kiriman jubah dan abaya daripada saudara mara, lama-lama terdetik untuk memulakan perniagaan bersama rakan niaga, Amir yang pada waktu itu bertugas di Kuala Lumpur. Walaupun pada awalnya agak ‘buta fesyen’, namun disebabkan minat untuk berniaga, kami nekad untuk belajar tentang fesyen, trend dan cita rasa penggemar fesyen muslimah. Alhamdulillah, hari ini jenama Jubahsouq berdiri sebaris jenama popular yang lain.

“Inspirasi untuk menghasilkan rekaan bagi koleksi Jubahsouq datang daripada pelanggan-pelanggan sendiri. Keterujaan melihat mereka menggayakan busana Jubahsouq dapat kami rasakan hingga sekarang. Ia menjadi cabaran untuk kami memenuhi permintaan dan kehendak pelanggan saban tahun. Secara peribadi, saya sendiri rasa sangat bertuah kerana mempunyai kumpulan staf yang bermotivasi, berdedikasi dan bersemangat untuk menaikkan lagi jenama Jubahsouq ,” kongsi Zack tentang penubuhan awal Jubahsouq.

Gandingan Zack dan Amir (kiri) memberi sisi berbeza untuk jenama Jubahsouq

Fokus Renda & Manik 

Signatur Jubahsouq adalah pada potongan baju di mana setiap koleksi dibuat sesuai dan selesa digayakan untuk setiap saiz. Kebanyakan rekaan Jubahsouq juga adalah sangat praktikal, bukan hanya anggun melangkah ke majlis-majlis keraian malah seleksi Jubahsouq cantik digayakan sebagai busana ke pejabat atau tampilan santai.

“Untuk koleksi Raya 2018, kami menyediakan lebih daripada 30 rekaan di mana setiap rekaan mempunyai enam hingga lapan warna. Tahun ini kami tampil dengan perincian seperti renda dan manik berbanding sebelum ini, lebih banyak bermain dengan himpunan polos dan bercorak. Memang tahun ini kami keluarkan lebih banyak pilihan design kerana mengambil faktor cita rasa pelanggan yang berbeza.

“Lebih menarik, koleksi Jubahsouq Raya mempunyai nilai eksklusiviti tersendiri kerana kami telah patternkan beberapa rekaan melalui MyIPO. Setiap rekaan didatangkan dengan kepingan besi di bahagian lengan baju. Begitu juga dengan pemilihan warna di mana kombinasi warna yang dipilih agak unik namun mampu menawan hati golongan fesyenista. Himpunan Jubahsouqraya boleh didapati secara online dan offline.

“Kami senantiasa fokus kepada peningkatan servis, khidmat pelanggan dan kualiti produk selain perlu tampil berbeza dengan pesaing kerana maklum balas daripada pelanggan sangat penting bagi menjamin kesetiaan pelanggan terhadap jenama Jubahsouq,” jelasnya.

Mengulas tentang pemilihan instafamous Hanis Rathi sebagai Face of Jubahsouq, Zack dan Amir masing-masing bersetuju bahawa aura dan personaliti yang ada pada Hanis Rathi bertepatan dengan imej yang ingin ditonjolkan Jubahsouq.

“Tidak dinafikan antara kriteria pemilihan model atau pun duta adalah pesona paras rupa yang mampu menarik minat pembeli apabila dia menggayakan koleksi daripada Jubahsouq. Tapi faktor utama kami memilih Hanis Rathi sebagai official face of Jubahsouq adaah disebabkan attitude dan cara pergaulan yang mesra dan dia pandai membuat suasana menjadi selesa di kalangan staf kami sendiri. Hanis Rathi juga bijak mempromosi dan pandai menarik minat penggemar Jubahsouq,”jelas Zack dan Amir lagi.

Antara koleksi Jubahsouq Syawal tahun ini yang digayakan Face of Jubahsouq, Hanis Rathi

Hanis Rathi Face of Jubahsouq

Secara rasmi dilantik sebagai Face Of Jubahsouq sejak Januari 2018, ia menjadi pendorong semangat untuk Hanis Rathi lebih serius dalam bidang peragaan. Tidak lagi sekadar hobi, kerjaya ini disifatkan ‘tempat cari makan’ bagi gadis jelita anak kelahiran Pulau Pinang ini.

Kelembutan raut wajah dan aura yang dimiliki pemilik nama penuh Hamizah Hanis Mohd Rathi,23, ini mencuri perhatian pengasas Jubahsouq untuk menyuntingnya sebagai wajah rasmi Jubahsouq.

“Tugas saya termasuklah menghadiri sesi fotografi fesyen untuk koleksi Jubahsouq selain mempromosikan label ini di media sosial. Jika ada majlis-majlis rasmi yang memerlukan saya turun padang, ruang itulah saya manfaatkan untuk membawa imej gadis Jubahsouq.”

“Secara peribadi, saya sendiri menyukai jenama ini kerana rekaannya yang cantik, minimalis dan elegan. Penggunaan fabrik yang selesa dan berkualiti tinggi membuatkan penampilan saya tambah menawan dan meyakinkan,” ujar Hanis mengekspresikan pandangnya terhadap koleksi Jubahsouq.

Mengakui kini lebih celik fesyen, bekas graduan USM dalam bidang hotel ini amat mementingkan warna dalam setiap penampilan yang mencerminkan aura dan emosi. Dalam masa yang sama, tidak melupakan aspek kekemasan supaya sentiasa tampil yakin dan selesa.

“Kita dapat lihat betapa fesyen muslimah kini mendominasi pasaran fesyen di Malaysia. Ia berkembang dengan cepat dan berjaya menarik perhatian pereka-pereka fesyen untuk bersaing secara sihat menghasilkan variasi rekaan terbaharu yang menepati kehendak dan keperluan golongan hijabi. Kerancakan industri fesyen muslimah hari ini sedikit sebanyak memberi nafas baharu dan membuka lebih banyak pilihan kepada wanita berhijab untuk tampil lebih bergaya,” ujar Hanis yang gemarkan penampilan ringkas dan menarik.

Hanis Rathi sebagai covergirl Hijab Fesyen edisi Mei 2018

Rotasi kehidupan gadis cantik ini bertukar 360 darjah. Secara tidak langsung dia kini dikenali ramai, menjadi sosial dan fashion influencer. Akuinya, kini perlu lebih berhati-hati dalam apa jua perlakuan dan pertuturan kerana pasti ada segelintir yang suka dan tidak suka dengan pencapaian yang berjaya diraih hari ini.

“Lebih-lebih lagi di laman sosial kerana ruang terbuka untuk sesiapa sahaja memberikan pendapat, sokongan mahupun kecaman. Tetapi Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik-baik sahaja dan saya banyak meluangkan masa melayan peminat-peminat di instagram yang bertanyakan tentang koleksi Jubahsouq yang saya gayakan,” kongsinya lagi.

Mendepani hari-hari mendatang, pastinya Hanis mahu lebih bekerja keras untuk jaminan masa depan. Di samping menjadikan modeling sebagai kerjaya sepenuh masa, Hanis mengimpikan untuk mengusahakan restoran sendiri suatu hari nanti. In shaa Allah, niat yang baik pasti akan disusuli dengan usaha, doa dan tawakal. Semoga impian murni itu berjaya direalisasikan.- HF

 

 

 

 

Categories: Ekstra