Ramza Studio Determinasi Sebuah Realiti

Kongsikan idea penubuhan Ramza Studio.
Bee sememangnya bercita-cita membuka sebuah akademi solekan dari mula menceburkan diri dalam industri. Tetapi memandangkan masih baharu, Bee cuma menyewa sebuah lokasi untuk dijadikan tempat rehat dan ruang berkongsi teknik solekan bersama rakan-rakan MUA yang lain. Setelah beberapa tahun, Bee berjaya tubuhkan Ramza Studio pada 2013.

Apa fasiliti yang ada di Ramza Studio?
Sewaktu menubuhkan Ramza Studio, aspek utama yang Bee tekankan adalah sebuah bilik yang privasi dan mempunyai pencahayaan terbaik untuk sesi pembelajaran di samping fasiliti lengkap seperti cermin, kerusi, meja dan peralatan solekan. Terdapat ruang rehat untuk keluarga yang menunggu semasa sesi pembelajaran dan ruang lebih kecil untuk kumpulan yang kecil.

Bagaimana dengan sambutan yang diterima selepas beberapa tahun beroperasi?
Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan dan pada hujung 2017, Ramza Studio berpindah ke ruang yang lebih besar dengan fasiliti yang lebih baik. Kami ada sebuah bilik khas untuk pembelajaran tidak semestinya solekan tetapi merangkumi semua jenis aktiviti lain termasuk kelas zumba, yoga, kelas mengaji bahkan studio kami digunakan untuk latihan asas grooming model oleh agensi model tempatan seperti Mr.Planet 2018.

Kongsikan rutin anda di Ramza Studio.
Ramza Studio mempunyai empat orang staf yang mempunyai tugasan berbeza contohnya berkenaan penyewaan studio, marketing di laman sosial, website dan staf yang menjaga akaun dan aliran wang di studio. Kebanyakan masa Bee memang dihabiskan di studio jika tiada urusan di luar Shah Alam. Bee akan adakan perjumpaan bersama staf sekurang-kurangnya sekali dalam dua minggu untuk kelancaran sistem di Ramza Studio.

Konsep yang diterapkan di Ramza Studio?
Ramza Studio adalah sebuah butik studio yang menawarkan ruangan selesa dan berfasiliti lengkap untuk apa jua aktiviti termasuk peralatan lampu dan pelbagai props build-in atau mobile bagi sesi fotografi. Butik studio ini mempunyai konsep tersendiri dan hiasan dalaman yang menarik untuk digunakan dalam sesi fotografi mahupun videografi. Terdapat juga ruangan mini untuk solekan yang digunakan sebagai platform jurumekap mengadakan sesi live di sosial media masing-masing. Masih lagi mementingkan aspek pencahayaan terbaik, kami juga menyediakan sebuah bilik khas yang dipanggil media room untuk sesi recording video.

Apakah keistimewaan lain yang ditawarkan?
Ramza Studio juga dijadikan walk-in store yang mana kami menyediakan produk kecantikan dan solekan untuk pelanggan yang datang menyewa mahupun yang ingin membeli secara offline. Manakala pelanggan yang lebih gemar membeli secara online, ,boleh mendapatkannya di website ramzamode.com.

Ceritakan sedikit tentang Lavue by BeeRamza?
La Vue Lens sebenarnya diilhamkan selepas Bee tertarik melihat penggayaan kanta lekap berwarna dalam industri solekan. Bee membuat research dan akhirnya menemui kilang yang mengeluarkan kanta lekap beserta sijil yang diluluskan pihak berwajib. La Vue Lens mempunyai lima warna natural untuk orang Asia iaitu Forest Green, Storm Grey, Sunny Brown, Cloudy Blue dan Coral Blue. Ia merangkumi power degree sehingga 700 degree.

Baharu sahaja tampil dengan produk Bea Beauty, boleh kongsikan?
Bea Beauty Make Up Remover dikeluarkan pada awal 2018 dalam bentuk wet tissue untuk memenuhi pasaran produk kecantikan pada masa sekarang. Bee percaya ‘skin first, make up second’. Bea Beauty Make Up Remover Wipes mengandungi ekstrak timun, aloe vera dan vitamin E yang sangat penting untuk kesihatan kulit wajah.

Jatuh bangun itu lumrah, bagaimana memotivasikan diri?
Bee selalu ingatkan diri, jika jatuh tujuh kali, Bee harus bangkit lapan kali. Jangan biarkan perkara negatif menjadi halangan dalam mengejar cita-cita. Sentiasa ingat Allah dan perancangan Allah adalah yang terbaik. Mungkin hari ini kita gagal hanya kerana untuk berjaya pada hari esok.

Dunia solekan is my life!

Tip dan nasihat anda untuk mereka yang berminat bergelar MUA?
Sentiasa rajin menimba ilmu dan tidak putus asa. Sama-sama menyokong rakan-rakan lain supaya lebih berjaya dan maju. MUA bukanlah kerjaya yang boleh dipandang ringan. Tugas mencantikkan wajah dan menyampaikan servis terbaik harus digalas dengan penuh komitmen dan kesungguhan.

Perancangan anda untuk tempoh 10 tahun mendatang?
Memperkasakan Ramza Studio dengan membina sebuah akademi yang boleh Bee jadikan platform kepada anak-anak muda yang meminati industri solekan dan fotografi khususnya.

Anda tidak akan berjaya sampai ke tahap hari ini jika tidak kerana?
Keluarga dan rakan-rakan. Saya percaya dengan doa orang sekeliling. Sentiasa berbuat baik dan menyokong satu sama lain. Bee masih berdiri di sini, disokong kuat oleh keluarga dan rakan-rakan dan pada masa yang sama untuk membantu keluarga dan rakan-rakan Bee yang lain.

Bee menganggap keluarga studio sama penting dengan keluarga Bee di rumah. Bee percaya bonding adalah penting untuk sesebuah organisasi berjalan dan berkembang dengan baik.

My studio is my family