SIMBA HILL GOURMET makan berteman SINGA PUTIH

MENIKMATI aneka juadah menyelerakan sambil menyaksikan telatah singa putih yang ditempatkan khas di taman berdinding kaca. Cuba anda bayangkan, sambil makan sambil melihat setiap pergerakan atau aktiviti yang dilakukan ‘si raja hutan’, menarik bukan? Pengalaman ini hanya boleh anda rasai sekiranya berkunjung ke pusat peranginan Bukit Gambang Safari Park dan makan di restoran singa putih atau dikenali sebagai Simba Hill Gourmet Hall, satu-satunya singa putih dan restoran seumpamanya di Malaysia.

Dan pastinya, golongan kanak-kanak paling teruja jika berada di restoran ini. Pendek kata, makanan yang dihidangkan langsung tidak berjamah tatkala terpegun dengan kehadiran singa putih yang adakalanya tampil dengan pelbagai aksi menarik. Hanya dinding kaca tebal yang menjadi pemisah antara pengunjung dan haiwan tersebut.

Makan bersaksikan singa putih, satu pengalaman yang anda tidak akan dapat di tempat lain.

Singa putih (panthera leo krugeri) adalah spesis singa African dengan ciri tersendiri iaitu berbulu putih dan krim serta mempunyai warna mata berwarna biru atau emas. Berfizikal sangat kuat dan memiliki penglihatan binokular dan enam kali lebih baik berbanding manusia. Singa putih makan lima hingga tujuh kilo daging sehari, berehat dan tidur selama 20 jam dalam sehari. Saiznya pula menjangkau 14m hingga 20m manakala berat mencecah 120kg hingga 240kg.

UNIK & MENGUJAKAN

Setelah penat menyusuri safari di mana anda sekeluarga dapat bertemu dan menyaksikan kehidupan pelbagai spesis haiwan, bolehlah merehatkan badan di restoran berkonsep unik ini sambil menikmati hidangan makan tengah hari ataupun makan malam. Jika bertuah, anda berpeluang mendengar ngauman dari sang raja hutan Afrika memberi anda ucapan selamat makan.

Penyambut tetamu di Simba Hill Gourmet Hall sedia menanti kunjungan anda.

Restoran Samba Hill Gourmet menghidangkan aneka pilihan menu Melayu, barat dan vegetarian. Restoran ini juga pernah dianugerahkan oleh Gold Award Theme Restaurant 2017 oleh Malaysia Tourism Council. Beroperasi pada Selasa hingga Khamis, 2 petang hingga 9 malam manakala Jumaat hingga Ahad bermula 12 tengah hari hingga 9 malam.

Ruang makan yang luas dan selesa untuk menikmati hidangan.

Ruang legar restoran ini juga terbuka untuk sebarang majlis korporat dan keraian termasuk majlis perkahwinan, hari jadi, hi-tea dan sebagainya yang boleh memuatkan sehingga 200 orang. Keunikan restoran ini juga pastinya memberikan pengalaman indah dan menarik bukan sahaja buat anda malah seisi hadirin yang hadir meraikan majlis anda. Maklumat lanjut di www.bgrc.com.my.