KEKERAPAN ayah membawa kami membuat aktiviti seperti hiking, jungle trekking dan camping mendorong minat saya terhadap aktiviti lasak sejak kecil lagi. Zipline atau lebih dikenali sebagai ‘flying fox’, abseiling, wall climbing, waterfall abseiling, rafting, tube rafting, trapezium dan acrobatic adalah antara aktiviti menarik yang pernah saya lakukan. Semua aktiviti ini melibatkan tali dan ketinggian. Bagi saya, aktiviti-aktiviti melibatkan hormone adrenaline seperti ini sangat menyeronokkan dan memberi kepuasan terutamanya apabila kita berjaya melakukan sesuatu yang menguji kemampuan diri.

Antara aktiviti paling mencabar keberanian saya adalah membuat ropeswing di Kuala Kubu Baharu. Pada tahun 2016, saya terlihat sebuah video ‘ropeswing’ pertama di Malaysia yang menjadi tular di Twitter. Hati saya terus tertarik untuk melakukan aktiviti tersebut dan segera mencari akaun Instagram penganjur aktiviti tersebut iaitu Rentas Adventures. Pada Januari 2018, ropeswing telah mendapat kelulusan rasmi untuk diteruskan di Malaysia dan suami yang turut berkongsi minat yang sama dengan saya adalah antara orang terawal melakukan ‘ropeswing’ buat kali pertama. Memandangkan saya mempunyai kekangan kerja pada waktu itu, saya hanya menyertainya pada bulan Februari baru-baru ini.

Tarik nafas dan nikmati terjunan ropeswing anda.

JANTUNG TERCABUT, BADAN MELAYANG

Mengimbau pengalaman cukup mengujakan itu, awalnya saya berasa sangat teruja untuk terjun dari atas jambatan ketika melihat pemandangan sungai dan pokok-pokok yang cantik dari atas. Setelah mengisi borang maklumat peserta, saya memakai harness dan helmet yang diberikan oleh krew. Ketika tali dipasang dan berdiri di atas platform, saya mula berasa kecut perut kerana merasakan seperti akan terjatuh pada bila-bila masa. Tapi saya cuba bertenang dan mengambil peluang tersebut untuk menikmati pemandangan yang cantik dari atas. Ketika tali dilepaskan oleh krew, memang agak mendebarkan. Jantung seperti mahu tercabut saja rasanya apabila badan mula melayang ke depan.

Namun, perasaan itu akan berganti dengan keterujaan dan rasa seronok setelah tali mula berhayun ke hadapan dan belakang. Terasa seperti terbang dengan bebas. Setelah itu, tali diturunkan sedikit demi sedikit sehingga saya dapat mencapai tali yang diikat menyeberangi sungai di bawah. Saya berpaut pada tali tersebut untuk mencapai satu lagi tali yang diberikan oleh krew untuk menarik saya turun ke bawah. Dua orang krew yang menunggu di bawah membantu saya untuk membuka harness dan helmet sebelum mengikatnya pada tali untuk ditarik oleh krew di atas jambatan. Setelah semuanya selesai, saya mendaki bukit untuk naik semula ke atas dan membuat terjunan kali kedua.

Memacu hormone adrenaline dengan pelbagai aktiviti melibatkan tali dan ketinggian.

JODOH DI LUBUK YU

Pada saya, kelebihan ‘ropeswing’ berbanding aktiviti lain ialah kerana ‘ropeswing’ sangat menguji keberanian diri. Perasaan terjun dari atas jambatan ke bawah adalah sangat mengujakan dan menyeronokkan. Selain itu, aktiviti ini merupakan yang pertama di Malaysia dan semestinya harus dicuba memandangkan tidak semua orang mampu untuk pergi ke luar negara bagi mencuba ‘ropeswing’. Faktor keselamatan juga amat dititik beratkan oleh kumpulan Rentas Adventures jadi saya dapat mencuba aktiviti ini tanpa ragu-ragu. Nasihat saya, jika ada yang berminat ingin mencuba ‘ropeswing’ datanglah ke Kuala Kubu Bharu untuk melihat sendiri bagaimana aktiviti ini dijalankan supaya anda mampu membuat persediaan mental dan fizikal sebelum terjun.

Selain ropeswing ini, saya sememangnya aktif menyertai pelbagai lagi aktiviti yang dianjurkan oleh kumpulan ini di pelbagai lokasi popular untuk aktiviti-aktiviti lasak ini antaranya Lata Hammer (Bentong), Lubuk Yu (Maran), Sungai Pisang (Gombak) dan Air Terjun Berkelah (Pahang). Selain itu, saya juga pernah mencuba zipline sepanjang 530m di Bukit Tinggi dan pelbagai aktiviti melibatkan tali di Escape Themepark dan Skytrex Adventure di Melaka. Saya selesa mengikuti aktiviti yang dianjurkan mereka kerana harga yang berbaloi dengan aktiviti yang ditawarkan, krew yang mesra dan ramah serta dapat mengenali rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama dengan saya. Pengalaman paling bermakna apabila saya bertemu jodoh dan mengenali suami saya semasa menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh Rentas Adventures di Lubuk Yu!

Categories: Gaya Hidup