10 Tip Elak Stres dan Kembalikan Energi Diri

Bagaimana emosi anda hari ini? Stres hingga terasa letih minda dan fizikal? Tiga cawan kopi masih belum mampu membangkitkan kembali energi yang kurang bermaya? Penampilan wajah segar di sebalik dua lapis bedak asas mungkin membantu menyembunyikan kulit yang kusam namun ia belum pasti mampu mengembalikan motivasi diri. Tip di bawah ini antara hal boleh anda praktikkan untuk meransang semula semangat dan tenaga yang semakin merudum.

1- Solat. Banyak rencana mengenai perubahan hidup menyarankan kuasa meditasi atau solat bagi orang Islam kerana ia amat berkesan. Anggaran 80 peratus temu janji dengan doktor adalah masalah berkaitan stres. Banyak pembaziran waktu dan masa merawat masalah stres boleh dielakkan menggunakan kaedah penjagaan diri seperti solat. Solat boleh mengurangkan stres, menguatkan sistem daya ketahanan tubuh, memulih tidur dan keceriaan. Sebenarnya orang yang bersolat didapati lebih bersikap rasional dan tenang apabila berhadapan dengan cabaran.

2- Kurangkan kafein. Kafein adalah sejenis stimulan atau perangsang yang meninggalkan kesan secara langsung pada pusat sistem saraf anda. Sebab itulah lebihan kopi boleh membuatkan jantung anda berdegup lebih kencang dan kepala berdenyut. Sekiranya anda stresStres atau lesu, minum espresso bukanlah penyelesaian terbaik jangka panjang. Sebaliknya, cuba kaedah semula jadi seperti bersenam dan solat agar berasa lebih bertenaga.

3- Makan secara bijak. Selain amalan pengambilan makanan yang sihat, makan secara ‘mindful’ (bijak) juga memerlukan latihan. Mindful eating bermakna anda perlu menikmati makanan anda pada setiap kunyahan yang ditelan, memikirkan akan asalnya, nilai kesihatan pada tubuh dan bagaimana ia terhidang di hadapan anda. Kajian juga menunjukkan mindful eating boleh merangsang minda, mengurangkan stres dan membantu menurunkan berat badan serta merupakan  amalan makan yang sihat.

4- Kekal aktif. Pergerakan adalah kaedah perangsang emosi dan pengurangan stres paling berkesan! Malah terdapat bukti ia berupaya melindungi memori dan kemahiran berfikir. Sama ada anda mengayuh basikal atau berjalan pantas, guna pergerakan bagi melegakan stres yang sedang memuncak. Senaman waktu pagi boleh membantu anda menghadapi seharian di pejabat sambil menajamkan fokus anda. Cuba lakukan pergerakan sederhana sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari dan perlahan-lahan tingkatkan waktu sehingga 30 minit sehari.

5- Lakukan perkara yang menggembirakan. Sekali-sekala layan diri anda dengan membeli kasut baru, makan ais-krim kegemaran atau hanya menonton filem. Tidur seketika sekiranya anda letih. Pergi melancong sekiranya anda berasa murung. Keluar seketika dari zon yang mencabar atau stres bagi melegakan perasaan anda dan akui emosi anda ketika itu. Tidak salah untuk menangis kerana ia salah satu cara untuk melegakan emosi.

6- Cabar diri dengan sesuatu yang baru. Cuba lari dan cabar diri anda untuk mencuba perkara baru setiap minggu atau setiap hari. Lakukan juga perkara yang menimbulkan rasa ceria dan mungkin di luar kebiasaan, sesuatu yang bukan dalam senarai ‘perkara-perlu-dibuat’. Pengalaman baru mendedahkan minda anda kepada kaedah-kaedah baru dalam pemikiran dan anggapan, yang boleh menceriakan anda.

7- Hubungan dan persekitaran positif. Menjalin hubungan yang sihat bermula dengan menghayati orang-orang dan perkara-perkara yang mengisi ruang kehidupan anda. Mungkin agak mencabar untuk mengubah hubungan yang ‘toksik’ dan sudah sebati dengan anda sama ada di pejabat mahupun persekitaran kebiasaan. Nilai semula hubungan-hubungan tersebut dalam konteks kehidupan dan kesejahteraan anda. Adakah mereka memberi impak positif atau negatif kepada diri anda?

8- Pelajari sesuatu baru. Mempelajari sesuatu membuatkan anda ceria. Ia juga membantu anda untuk hidup lebih lama, membuka minda dan memperkayakan kehidupan. Cuba belajar sesuatu yang baru seperti pergi ke kelas usrah dan belajar tajwid mengaji Al-Quran atau bahasa asing seperti Arab atau Korea. Apapun perkara yang anda belajar, ia akan menajam dan me’remaja’kan minda anda.

9- Tulis diari. Menulis diari telah dibuktikan berupaya melegakan stres, merangsang pemahaman, menjentik kreativiti, membina keyakinan dan merangsang anda mencapai kejayaan. Suatu bentuk terapi daripada satu perlakuan mudah. Namun jangan paksa diri anda menulis diari setiap hari. Proses menulis itu adalah lebih penting daripada perkara yang ditulis. Rangsang diri anda dengan ayat ‘Impian anda untuk hari tersebut? Dan tulis segala perkara yang timbul dalam fikiran anda.

10- Tidur bagai tiada hari esok. Tubuh anda memerlukan penjagaan dan rehat. Umpama komputer yang perlu ditutup sebelum meninggalkan pejabat, tubuh dan minda anda juga perlu proses caj semula setiap malam. Kajian menunjukkan tidur malam yang nyenyak mampu mencuci minda anda daripada aura negatif yang terkumpul sepanjang hari. Sebab itulah tidur selama tujuh hingga lapan jam amat penting pada kesejahteraan minda dan fizikal anda. Usaha untuk tidur lebih 30 minit daripada tempoh tidur sedia ada, sama ada tidur malam atau lelap seketika pada waktu tengahari.