5 JUTA pengikut, siapa NISSA SABYAN?

Orangnya kecil tetapi bakatnya sungguh hebat dan luar biasa. Lantunan suaranya cukup merdu dan mengasyikkan. Lagu-lagu dendangannya seperti Ya Maulana, Deen Assalam, Ya Jamalu, Ya Habibal Qolbi, Rohman Ya Rohman, Ya Asyiqol Musthofa, Ahmad Ya Habibi, Atouna El Toufoule dan Qomarun  nyata mencetuskan fenomena tersendiri.

Populariti Khoirunnisa atau lebih dikenali Nissa Sabyan mula menyinar selepas berjaya menyampaikan lagu-lagu berunsurkan kerohanian dan selawat yang cukup menusuk jiwa.  Siapa sangka dalam usia yang masih hijau, Nissa tersenarai antara selebriti dan influencers terkenal dengan pengikut lebih daripada 5 juta dalam akaun Instagramnya @nissa_sabyan.

 

Tidak pernah mengecewakan…beginilah sambutan yang diterima Nissa Sabyan sewaktu membuat persembahan.

Selesa bergerak secara berkumpulan, vokalis utama kumpulan Sabyan Gambus yang berasal dari Jakarta, Indonesia ini pada awalnya dibentuk untuk mengisi acara-acara perkahwinan sahaja. Namun, pada tahun 2018 populariti mereka mencanak naik selepas melancarkan  single pertama bertajuk Ya Maulana. Hingga saat ini, langganan untuk saluran YouTube Sabyan Gambus Official yang mula dimuat naik sejak 2017 sudah mencecah jutaan penonton.

Selain Nissa, Sabyan Gambus turut dianggotai Ahmad Fairuz alis Ayus (keyboard), Sofwan Yusuf atau Wawan (Percussion), Kamal (darbuka), Tubagus Syaifulloh alias Tebe (biola) dan Anisa Rahman (backing vokal).

Nissa bersama anggota Kumpulan Sabyan Gambus.

Apa yang menariknya, anak bongsu daripada lima beradik ini juga pernah tular baru-baru ini apabila buat pertama kalinya muncul membuat persembahan dalam pertandingan realiti Amerika Got Talent. Lagu nyanyiannya Deen Assalam berjaya mencuri perhatian juri-juri yang terpegun akan kemerduan suaranya. Malah juri Howie Mandel menitiskan air mata sebak. Walaupun tidak faham akan maksudnya tetapi lirik lagu itu seolah-olah menusuk ke hati pendengar sewaktu pertandingan tersebut.

Nissa berkata, dia amat bersyukur  dan tidak pernah rasa terbeban dengan populariti yang diraih secara mendadak itu. Malah kehidupannya masih sama  seperti remaja lain. Jika tiada undangan persembahan pentas, gadis ini lebih selesa beristirehat di rumah bersama keluarga tersayang. Lulusan Sekolah Tinggi Vokasional Jakarta, Indonesia dalam jurusan otomotif dan elektronik ini memberitahu kerjaya nyanyian diceburi bukan sekadar cita-cita.

“Kerjaya nyanyian bukan cita-cita lagi tapi keinginan diri sendiri,” katanya.

IKON HIJAB

Bercerita soal fesyen, gadis comel ini selesa mengenakan busana yang sopan, bersahaja dengan konsep suai padan.  Penampilannya yang ringkas bersama  riasan yang tidak berlebihan membuatkan Nissa menjadi ikon hijab yang disenangi oleh pengikutnya.

Selesa memilih gaya minimalis dengan konsep suai padan.

Populariti yang diraih Nissa turut menarik perhatian beberapa jenama untuk menjadi duta produk mereka. Selain enak menyanyikan lagu gambus, Nissa juga boleh menyampaikan lagu beraliran pop dan dangdut.-HF

Kredit Foto : Instagram @nissa_sabyan

 

error: Content is protected !!