AIFW2018 batal saat akhir, ramai pereka terkilan dan kecewa!

Kecoh apabila Asia Islamic Fashion Week (AIFW2018) yang sepatutnya berlangsung 26 hingga 29 Julai 2018 di Mitec KL yang kemudiannya bertukar lokasi pada saat akhir ke Matrade KL tiba-tiba dibatalkan pihak penganjur beberapa jam sebelum majlis perasmian berlangsung.

Sekitar selepas magrib tadi suasana bertukar kecoh di Matrade apabila sekumpulan pereka fesyen dan tetamu yang sudah bersiap sedia bagi acara pembukaan pertunjukan fesyen yang dijadualkan jam 8 malam tadi dimaklumkan tentang pembatalan tersebut.

Menurut Eja Shahril (Eja Shahril Clothing), dia amat terkilan kerana sudah melakukan segala persiapan untuk majlis malam ini.

“Saya terkejut dan hampir pengsan setelah diberitahu majlis batal. Saya sudah buat persiapan berbulan-bulan, tambah lagi semua orang sudah excited untuk majlis perasmian malam ini, tiba-tiba tak jadi, memang  saya sangat kecewa dengan pihak penganjur.

“Tambah menyedihkan ia berlaku last minute. Kejadian ini adalah kali kedua berlaku selepas ditangguhkan pada bulan Mac yang lalu. Penaja dan tetamu jemputan saya semua dah sampai, persalinan semua dah siap, tiba-tiba majlis batal.

“Saya masih menunggu penjelasan daripada pihak pengajur dan berharap mereka bertanggungjawab ke atas kerugian besar yang perlu kami tanggung,” luahnya kecewa ketika dihubungi HF.

Sementara itu pengasas butik Nursuraya, Hazreen Nur Suraya Hashim pula meluahkan rasa kecewa dan terkilan kerana dia sendiri terbang dari Dubai ke KL semata-mata untuk menyertai AIFW2018.

”Saya kesian dengan team saya yang dah buat semua persiapan, berhabis wang ringgit untuk perbelanjaan goodies tetamu, tempahan hotel, sewa logistik, tiket penerbangan dan juga yang dah ambil cuti kerja.

“Kami difahamkan majlis malam ini terpaksa dibatalkan kerana masalah venue. Namun ada juga yang kata sebab masalah tajaan.

“Ada pereka fesyen dari Jakarta dan Brunei yang sudah tiba. Bila perkara ini berlaku sekali gus memalukan Malaysia sebagai tuan rumah.

“Secara tidak langsung turut mencalarkan imej butik-butik dan pereka yang terlibat kerana semua orang sudah maklum berkenaan event yang akan berlangsung malam ini sehingga 29hb nanti,” tegasnya.

Pihak penganjur melalui satu kenyataan yang diedarkan melalui aplikasi WhattsApp mengesahkan pembatalan tersebut adalah atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pengasas AIFW2018, Fuza Umar dalam kenyataannya memberitahu telah melakukan yang terbaik untuk merealisasikan majlis pertunjukan fesyen tersebut namun terpaksa membatalkan pada saat-saat akhir kerana masalah teknikal berlaku di luar kawalan pihak pengajur.

Bagaimanapun, beliau tampil memohon maaf kepada semua yang terlibat dan mengakui segala kesulitan yang telah menyusahkan banyak pihak termasuk para pereka dan tetamu jemputan.