Apa kata 3 INSTAFAMOUS POPULAR ini tentang koleksi hijab berjenama?

Bagi golongan berhijab, item yang paling banyak dibeli semestinya koleksi tudung, skaf, hijab, kerudung atau apa sahaja ungkapan yang digunakan sebagai penutup kepala. Sama ada ia berjenama atau tidak, mahal atau murah, masing-masing punya persepsi berbeza tentang hijab. Berbaloi atau tidak membeli hijab berjenama? Atau sekadar mengikut trend fesyen mahupun untuk kepuasan semata? Jom dengar apa kata tiga instafamous popular ini tentang koleksi hijab mereka.

Nik Izzati Amanina

“Pada pandangan saya, tidak berbaloi untuk saya keluarkan wang yang lebih untuk membeli tudung. Namun, jika seseorang hijabi minat dan mampu mengeluarkan bajet yang lebih, saya rasa tidak salah kerana itu adalah personal preference masing-masing. Seperti seseorang yang gemar membeli beg tangan berjenama, itu juga adalah hak dan minat tersendiri. Tambahan pula tidak salah jika mereka mampu dari sudut kewangan. Faktor kepuasan dan trend memberi sumbangan yang besar dan sama banyak dalam mendorong seseorang hijabi untuk membeli hijab yang mahal. Dari sudut positif, pembelian barangan yang lebih mahal mungkin boleh menjadi self reward di kalangan wanita.”- Nik Izzati Amanina Halim

Jaja Talib

“Berbaloi atau tidak bergantung dengan design dan kualiti. Kalau berbaloi untuk beli, mesti Jaja akan beli sebab tak ada dalam pasaran lain. Golongan hijabi yang membeli hijab yang mahal mungkin untuk melambangkan sesuatu yang mewah, nak nampak bergaya, eksklusif, untuk lifestyle dan imej. Ia juga satu kepuasan atau ganjaran kepada diri sendiri. Soal ikut trend, ia bergantung kepada individu. Sesetengah sukakan kepuasan tentang kualiti, senang pakai dan nak nampak penampilan yang berbeza. Mungkin sesetengah yang lain pula bila nampak hijabi popular yang pakai, mereka terikut sama dan turut membelinya bagi memenuhi tuntutan trend fesyen.”- Jaja Talib 

Alya Iman

“Kalau tanya Lya, Lya tak akan melabur untuk membeli tudung-tudung yang harganya terlalu mahal. Pada Lya, tudung mahal ke tudung murah ke, masing-masing punya kelebihan tersendiri. Yang penting ia dipakai untuk tujuan yang sama iaitu untuk menutup aurat wanita. Lazimnya, individu yang melabur untuk item-item mahal tidak kiralah tudung, beg tangan, kasut, perhiasan dan sebagainya, ia lebih kepada untuk kepuasan diri, lambang imej dan personaliti individu terbabit. Soal berbaloi atau tidak, ia terpulang kepada kemampuan seseorang dari segi wang ringgit dan gaya hidup.” – Alya Iman Mohd Azmil – HF

Kredit foto: Instagram @nia.halim, @jajatalib & @alyimn

error: Content is protected !!