Cakna Agama Bentuk Jati Diri -IMAM MUDA NAUFAL HATTA

Enam tahun dahulu wajah ini menjadi antara barisan finalis akhir program realiti Iman Muda Musim ke-3. Rezeki buatnya apabila dianugerahkan pemenang tempat ketiga pada malam kemuncak yang berlangsung tanggal 3 Ogos 2012. Pemilik nama penuh Abdul Rahman Naufal Mohd Hatta, 27, kini semakin matang menyusun langkah meneruskan perjuangan dakwahnya.

Lebih mesra dengan panggilan Naufal Hatta, kelibat pendakwah muda ini  kini boleh ditonton di saluran TV Al-Hijrah sebagai penyampai berita dan hos rancangan temu bual pagi ‘Assalamualaikum’.  Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang ditimba, Naufal Hatta semakin serasi dan selesa menceburkan diri dalam dunia media.

“Saya bertugas sebagai pendidik sepenuh masa di sebuah sekolah swasta di Shah Alam dan secara secara sambilan sebagai pengacara dan penyampai berita di stesen TV Al-Hijrah. Saya turut memenuhi jemputan ceramah atau seminar motivasi di masjid dan sekolah. Selain itu, saya juga ada terima tawaran berlakon jika jadual penggambaran tidak berlaga dengan komitmen kerja yang lain.

“Pembabitan dalam bidang media memberi pengalaman baharu buat saya. Menjadi penyampai berita banyak melatih disiplin untuk berada di hadapan kamera. Talk show Assalamualaikum juga banyak mendedahkan saya dengan kerja-kerja di belakang tabir. Program ini pun berkonsepkan temu bual santai jadi saya rasa lebih seronok dan rasa lebih dekat dengan masyarakat.

“Matlamat saya suatu hari nanti ingin memiliki production atau stesen tv sendiri di mana saya boleh mengawal content media yang akan disiarkan di skrin. Saya nak bawa content yang mampu memenuhi keperluan dan kehendak audiens pada hari ini. Ia perlu sesuai dan mesejnya sampai kepada setiap golongan masyarakat tak kira Muslim atau Non Muslim.

“Perjalanan ke arah itu masih jauh dan sekarang ialah masa untuk saya kutip ilmu dan pengalaman daripada mereka yang lebih berpengalaman. Alhamdulillah, saya seronok dengan kerjaya hari ini di mana saya dapat mendekati pelbagai lapisan masyarakat dan menyerap banyak input baharu,” kongsi Naufal Hatta tentang impian masa depannya.

Kini bergelar penyampai berita dan hos program ‘Assalamualaikum’ di TV Al-Hijrah.

Mantapkan Ilmu

Mengimbas kembali momen sewaktu terbabit dalam program Imam Muda yang pernah mencetuskan fenomena baharu dalam dunia dakwah, Naufal Hatta bangga kerana program seumpama itu terus mendapat tempat di hati penonton hari ini. Ia secara tidak langsung,  melahirkan ikon dalam kalangan generasi muda untuk menarik golongan berkenaan lebih mendekati agama.

“Kita perlu golongan muda yang cakna agama, cakna isu-isu rohani. Agak mengecewakan kerana ramai anak muda hari ini lebih materialistik dan terlalu obses dengan keseronokan dunia. Di sinilah perlunya pendakwah-pendakwah muda memantapkan disiplin ilmu agama mereka dalam usaha mengajak dan mendidik masyarakat terutama di kalangan anak muda untuk cintakan majlis-majlis ilmu.

“Program realiti yang melibatkan anak muda cakna agama antara salah satu usaha murni bagi mencari, menggilap dan mengasah bakat-bakat baharu dalam dunia dakwah. Melalui pendedahan besar di media, suara dan perjuangan anak muda lebih didengari. Masyarakat kini lebih terbuka dan boleh menerima pandangan generasi muda. Alhamdulillah dengan isi kandungannya yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan manusia sejagat, ia sekali gus menjadi pencetus kepada pembangunan modal insan.

“Menyampaikan dakwah ni banyak cara, tidak semestinya kena pergi ke masjid baharu dapat ilmu agama. Kadang-kadang kita akan lebih mudah terkesan melalui dakwah secara indirect way seperti ketika bersembang santai di tempat kerja atau berkumpul bersama kawan-kawan sewaktu melakukan aktiviti riadah. Sambil borak kosong, selitkan nasihat, mesej yang baik, pengajaran atau iktibar yang boleh dikongsikan antara satu sama lain,” ujarnya yang berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Berharap agar impian untuk memiliki stesen TV sendiri suatu hari nanti termakbul.

Usah Larut Duniawi

HF berkongsi pandangan bersama Naufal Hatta mengenai kes penderaan bayi dan kanak-kanak yang semakin membimbangkan. Kisah sedih dan tragik seperti ini menjadi santapan pembaca dan penonton menerusi pelbagai saluran media yang tentu sahaja menyentak emosi dan tak kurang juga mencetuskan amarah masyarakat. Mengulas mengenainya, Naufal Hatta menyarankan agar masyarakat harus matang dalam menghadapi tekanan hidup hari ini yang datang dalam pelbagai aspek.

“Ada individu melepaskan tekanan mereka dengan cara positif seperti bersukan, keluar bersantai dengan kawan-kawan dan sebagainya. Manakala ada sesetengah yang lain tidak mampu menyerap tekanan sehingga mempengaruhi emosi mereka untuk bertindak di luar batas normal. Saya percaya ada asbab yang menjadi punca mereka bertindak demikian. Mungkin juga dari sudut pengalaman sebagai ibu bapa belum cukup, tidak faham tanggungjawab dan sebagainya.

“Kes dera bayi atau kanak-kanak sebagai contoh, ia bukan berpunca daripada anak-anak itu sendiri. Keadaan hidup hari ini menekan semua orang bukan sahaja golongan ibu bapa. Tekanan dengan majikan di tempat bekerja, tekanan kewangan, tekanan daripada pasangan itu sendiri atau tekanan daripada orang sekeliling menjurus kepada tindakan seseorang itu untuk melepaskan tekanan sehingga anak-anak menjadi mangsa kerana mereka adalah golongan yang lemah dan tidak pandai melawan.

“Kita terlalu larut mengejar hal keduniaan sehingga kadang-kadang sampai tidak tahu macam mana nak lawan tekanan dengan cara yang betul. Allah bagi ujian dalam pelbagai bentuk. Nak tahu kena belajar. Dengan ilmu dan kaedah yang betul , In Shaa Allah kita akan dapat menyerap dan melawan tekanan dengan cara terbaik,” ujarnya memohon agar golongan ibu bapa mesti menerima dan memegang amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

Momen indah ketika menjadi finalis akhir program Imam Muda musim ke-3 pada tahun 2012.

PROFIL

Nama Penuh: Abdul Rahman Naufal Mohd Hatta
Nama Pentas: Naufal Hatta
Tarikh Lahir: 8 April 1991
Tempat Lahir: Johor Bharu
Pendidikan:  Universiti Sains Islam Malaysia (Ijazah pertama dalam bidang Matematik)
Madinah International University, Shah Alam (Ijazah kedua dalam bidang Usul al-Fiqh)
Hobi: Sukan ekstrem
Kerjaya: Pendakwah, penyampai berita, pengacara & pelakon
Keluarga: Isteri: YM Tengku Hasanah
Anak-anak: Fadhilah (2 tahun 5 bulan) & Ibrahim (10 bulan)

TRIVIA

  1. Seorang yang sangat lasak. Gemarkan aktiviti dan sukan ekstrem.
  2. Gemar memasak dan mencuba resepi baharu berkenaan kek dan roti.
  3. Meminati muzik hip hop, puisi, syair dan kata-kata puitis.
  4. Suka filem aksi dan Islamik. Mengidamkan watak atau karakter lasak dalam lakonan.
  5. Menulis seni khat jika ada masa terluang untuk mendidik sifat sabar dalam diri.

 

 

 

error: Content is protected !!