Dari dunia glamor sebagai model Muslimah, Erni Bougas fokus jadi usahawan kosmetik pula

Aura saat bidikan lensa tepat ke arahnya menjadi rezeki Nur Erni Amanina Mohammad Amin atau cukup dikenali dengan nama Erni Bougas bergelar model Muslimah. Dek kerana itu juga, hijabi manis ini bertemu jodoh dengan jurufoto fesyen, Faisal Salehhuddin.

Bersama sebahagian daripada stokis-stokisnya

Namun perlahan-lahan dia meninggalkan fasa glamor dunia modeling dan membuka lembaran baharu bergelar usahawan kosmetik. Bekas graduan diploma pengajian perniagaan ini semakin sibuk mengorak langkah mengembangkan perniagaannya sendiri.

“Sejak berkahwin, saya sudah memperlahankan rentak dalam dunia modeling. Kini saya serta suami fokus untuk mengukuhkan lagi bisnes dan jenama produk penjagaan wajah keluaran kami iaitu Bougas Beauty.

“Alhamdulillah sehingga kini kami mempunyai stokis di seluruh negara, Indonesia dan Singapura. Kami juga baru mengembangkan perniagaan ke Brunei dan mempunyai stokis di sana,”ujar pengasas Bougas Empire Sdn Bhd ini.

Suami yang menjadi tulang belakang dan kekuatan Erni selain keluarga
Rezeki semakin murah sejak bergelar usahawan kosmetik

Jelas hijabi manis ini semakin selesa menggalas peranan seorang isteri dan usahawan. Bertuah diijabkabulkan bersama suami yang turut menjadi rakan kongsinya, memudahkan kedua-duanya berbincang dan saling memahami tanggung jawab masing-masing.

“Dengan sokongan keluarga dan suami saya sentiasa merancang dan menyusun kehidupan serta perniagaan saya. In Shaa Allah  dalam masa 5 tahun daripada sekarang saya mahu jadi usahawan muda berjaya yang lebih dikenali,” ujar puteri kepada pasangan Mohamed Amin Abdullah dan Siti Saleha Masek ini.

Mengimbas penglibatannya sebagai model Muslimah, model genit berketinggian 158 cm ini pernah menjadi antara model Muslimah popular dan dikehendaki. Menggunakan nama pentas Erni Bougas sempena nama keluarga, dia mula berjinak-jinak dengan dunia modeling setelah tamat pengajian.

“Alhamdulillah, bergelar model muslimah membuka peluang dan rezeki yang sangat besar buat saya. Menjayakan ratusan sesi fotografi yang kebanyakannya terdiri daripada label-label Muslimah, saya mengutip pelbagai pengalaman dan pencapaian peribadi yang sangat berharga.

“Atas tiket sebagai model, saya dapat mengembara ke negara-negara luar untuk sesi fotografi, terlibat dengan pelbagai iklan berhijab termasuk menjadi model billboard,” cerita hijabi yang mempunyai lebih 164 ribu pengikut di instagram ini.

 

 

PROFIL

Nama Penuh : NUR ERNI AMANINA BINTI MOHAMAD AMIN

Tarikh Lahir : 21 NOVEMBER 1993

Adik Beradik : 8 ORANG

Asal : JOHOR

Hobi : MEMBACA, TRAVEL DAN BERIADAH

Pendidikan : DIPLOMA PENGAJIAN PERNIAGAAN

 

 

error: Content is protected !!