Doktor ini dedah punca kulit bermasalah sebab tak pakai sunblock

Zaman sekang bukan sahaja kaum wanita, bahkan kaum Adam pun dah mula pentingkan wajah dan penampilan. Sana sini orang sibuk nak cantikkan wajah. Realitinya tidak semua orang konsisten terhadap rejim penjagaan kulit malahan ada juga yang langsung tidak mempedulikannya. Nak pakai sunblock atau krim pelindung matahari pun malas. Kalau kulit wajah pun bermasalah, macam mana nak tampil yakin di hadapan orang?

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dermalene Medisuite & Consultancy Sdn. Bhd., Dr Alina Hasni Mohamad Rashid berkongsi pandangan beliau tentang situasi di mana masyarakat kurang faham dan sedar akan definisi sebenar kulit yang sihat.

Penggunaan krim pelindung sinaran matahari adalah sangat penting untuk kesihatan kulit.

 

“Antara masalah utama masyarakat Malaysia adalah kurang sedar akan kepentingan menggunakan pelindung sinaran matahari. Malah ada yang menggunakan dengan kuantiti yang tidak tepat dan pada masa yang salah. Orang ramai lebih mementingkan penggunaan pelembap berbanding krim pelindung sinaran matahari.

“Ingin saya tekankan bahawa penggunaan krim pelindung sinaran matahari adalah sangat penting. Disarankan memilih krim pelindung sinaran matahari yang mempunyai sekurang-kurangnya SPF30 yang mempunyai perlindungan UVA & UVB.

“Masalah lain yang sering mengganggu pesakit termasuklah jerawat dan jeragat yang luar biasa. Dua masalah kulit ini antara kes yang paling banyak saya dapat di Dermalene. Jerawat dan jeragat menyebabkan mereka yang mengalaminya kurang keyakinan diri untuk berdepan dengan khalayak,” kongsinya.

Menurut Dr.Alina lagi, kebanyakan orang mengukur kecantikan itu pada warna kulit, namun realitinya kulit yang cantik itu adalah kulit yang sihat. Masyarakat dimomokkan dengan stigma bahawa putih itu cantik kemudian ditambah lagi dengan stereotaip iklan produk kecantikan melampau yang hanya fokus kepada pemutihan kulit.

“Semua berlumba nak putih segera. Iklan-iklan produk pemutih pula berjaya mempengaruhi pengguna. Mereka terus beli dan menggunakannya tanpa mendapatkan rundingan doktor.

“Dek kerana obses nak cantik dalam masa singkat, mereka lupa tentang kesan penyalahgunaan produk kosmetik kepada kesihatan kulit,” jelas Dr Alina sekali gus menyarankan agar masyarakat tidak kedekut untuk melabur bagi mendapatkan rawatan penjagaan kulit yang betul kerana kesihatan kulit itu seharusnya boleh dinikmati oleh semua orang.

Dr. Alina Hasni

TIP PENJAGAAN KULIT DR.ALINA

  1. Pakai krim pelindung matahari sekurang-kurangnya SPF30 dan mempunyai perlindungan UVB& UVA.
  2. Skrub wajah satu atau dua kali seminggu. Gunakan skrub wajah seminggu sekali untuk pastikan kulit sentiasa segar dan bersih. Ianya baik demi membuang kulit mati yang berada di sekitar wajah.
  3. Jika kulit berjerawat, pakai loose powder.
  4. Jaga pemakanan dua minggu sebelum datang bulan. Lebihkan makanan yang tinggi kandungan antioksidan.
  5. Jalani rawatan kecantikan kulit secara berkala.

 

Foto: Zulhilmi Zaini 

error: Content is protected !!