ENDANG HYDER pilih FAIZAL TAHIR & MALIQUE

Lunak, merdu dan asyik sekali gesekan violin yang diperdengarkan sang pemiliknya Endang Hyder, 32. Lantunan gemersik violin yang dimainkan bisa sahaja membugar jiwa yang sedang murung dan kecewa. Memetik nama penyanyi dan komposer tersohor Faizal Tahir dan Malique sebagai individu yang diimpikan untuk bekerjasama, Endang berharap ianya mampu direalisasikan suatu hari nanti.

Kuasa tular membawa nama Endang Hyder yang kini mula dikenali dalam industri.

“In shaa Allah saya dalam perancangan untuk mengeluarkan album sendiri di mana saya akan cipta lagu-lagu sendiri. Buat masa ini saya kena pilih lagu-lagu yang sesuai untuk diberi nafas violin.

“Kalau boleh, saya nak buat lagu yang boleh menawan hati golongan berusia yang lebih menghargai muzik. Ia mungkin ambil masa tetapi saya yakin, ia mampu membawa kelainan.

“Saya juga akan fokus buat Vlog untuk kongsikan seni muzik violin dengan orang ramai. Niat saya main violin untuk hiburkan orang.

Ibu muda kepada tiga cahaya mata ini turut berkebolehan bermain instrumen lain termasuk erhu, cello dan piano.

“Sebelum ini pernah ada seseorang yang beritahu saya apabila mendengar saya bermain violin, ia berjaya memberinya kekuatan untuk teruskan hidup selepas kecewa dengan nasib hidupnya.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat terharu kerana ada individu yang terkesan dengan alunan violin yang saya mainkan sehingga berjaya memulihkan semangat mereka yang sedang rapuh.

“Semoga ia mampu menjadi motivasi kepada mereka yang menjadikan muzik sebagai medium untuk memberi nuansa ketenangan serta inspirasi dalam kehidupan,” ujar Endang atau nama penuhnya, Ell Zain Hyder Zainuddin.

Endang menamakan pemain violin, penari dan penggubah lagu Lindsey Stirling sebagai rujukan kerana sering menampilkan aksi hebat gabungan violin dan tarian.

Endang mula menjadi bualan sekitar April tahun lalu selepas video bermain violin untuk lagu Aisyah nyanyian Projector Band dan Jampi nyanyian Hael Husaini dikongsi ramai di laman sosial.

TIP KEJAYAAN

  1. -Jangan niat nak glamor dahulu
  2. -Kena sabar, belajar dari bawah
  3. -Fokus, jangan main-main
  4. -Jujur dengan apa yang dilakukan
  5. -Pandai bawa diri
  6. -Letak hati dahulu, popular akan datang kemudian
Endang dalam perancangan untuk mengeluarkan album sendiri.

 

PROFIL

Nama penuh: Ell Zain Hyder Zainuddin
Nama pentas: Endang Hyder
Tarikh lahir: 28 Julai 1986
Asal: Malim Nawar, Perak
Keluarga: Anak bongsu daripada tiga beradik
Pendidikan:  Licentiate of London College of Music (LLCM)
Suami: Mohamad Sabri Jaafar
Anak-anak:
Aizel Zain Akhtar, (6 tahun)
Muhammad Wildan Zain (4 tahun)
Muhammad Jaafar Zain (2 tahun)
Foto: Siti Rohaida Zulkifli

error: Content is protected !!