ILHAM QASEH 'Love & Passion' ROSNIZAN NAWI

           “I believe that being successful means having a balance of success stories across the many areas of your life. You can’t truly be considered successful in your business life if your home life is in shambles” – Zig Ziglar

Mengukir kejayaan dalam empayar perniagaan, cantik, dan sentiasa ceria menguntum senyuman, wanita anggun ini bahagia ‘menikmati’ kesibukan rutin hidupnya sebagai ibu kepada tiga orang cahaya mata, isteri dan juga pemilik jenama tudung Ilham Qaseh. Waima mengakui getir saat mula bergelar usahawan, kini Rosnizan Md Nawi, sudah boleh merasa lega melihat hasil yang diusahakan.

“Saya merupakan seorang suri rumah sepenuh masa selama lapan tahun sebelum rotasi hidup saya berubah setelah terjun ke bidang perniagaan. Sebagai wanita bekerja, saya akan siapkan semua urusan di rumah dengan bantuan pembantu rumah sebelum keluar. Anak-anak juga sibuk dengan tuisyen dan persekolahan. Selain itu ada ustaz yang akan datang mengajar mengaji di rumah. Setelah sibuk dengan rutin masing-masing pada hari biasa, saya akan pastikan kami mempunyai waktu bersama apabila hujung minggu.

“Sebagai bos pula, saya tidak hanya berharap pada orang lain. Saya berpegang dengan prinsip bahawa bos juga ialah pekerja dan staf bertindak untuk meringankan beban tugas saya. Pekerja adalah keluarga dan semua perkara kami buat sama-sama. Alhamdulillah setelah banyak korban masa dan air mata membangunkan bisnes dengan modal sendiri tanpa pinjaman bank, dan bermula hanya diri sendiri menjadi pekerja serta bos, kini Ilham Qaseh sudah boleh bergerak sendiri dan mempunyai ejen serta dealer di seluruh negara,” katanya yang begitu teruja membuat fotografi muka depan ini di bumi Turki.

Pelopor Tudung Knitted Di Malaysia

Sesi fotografi khas yang dilakukan di Turki untuk keluaran Aidilfitri lalu.

Menyedari trend fesyen dan hijab sentiasa berubah-ubah serta dihimpit lambakan persaingan namun anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini terus yakin dengan kemampuan serta kelebihan yang ada pada tudung Ilham Qaseh sebagai pelopor tudung jenis kait di Malaysia. Lima tahun konsisten dalam pasaran, kualiti material yang digunakan menjadi antara aspek penting yang  sentiasa ditekankan oleh Rosnizan  demi menjadikan Ilham Qaseh sebagai jenama yang terus dipercayai.

“Ilham Qaseh merupakan inspirasi dan tanda kasih saya kepada wanita-wanita lain yang suka akan kecantikan. Bila saya pakai tudung yang cantik dan selesa, jadi saya mahu kongsi dan jual apa yang saya pakai. Alhamdulillah sampai sekarang, kami mempunyai para pelanggan  setia yang sentiasa percaya dengan kualiti  tudung kami. Lagi pula, tudung kait ini bersifat timeless dan saya sendiri selalu mencari jalan untuk men’trending’kan  tudung Ilham Qaseh supaya rekaannya selari mengikut arus fesyen semasa.

“Istimewanya, kami mempunyai ramai pelanggan setia yang menjadi ‘collector’ setia tudung Ilham Qaseh. Ada antara mereka mempunyai lebih 3000 koleksi tudung kami dengan semua warna dan rekaan. Saya sendiri pun tidak mempunyai koleksi sebanyak itu! Apa yang menariknya tudung jenis kait ini, setiap koleksi adalah terhad dan eksklusif. Stok cepat habis dan Alhamdulillah kini setiap minggu akan mempunyai stok baharu dan keluarkan rekaan baharu,” kongsi bekas penuntut Diploma Seni Persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Nak Buka Kafe

Rosnizan mahu membantu ekonomi wanita-wanita di luar sana melalui Ilham Qaseh.

“Sebagai usahawan, kita perlu bijak menguruskan kewangan dengan baik. Everything is about how well you plan and manage your business financial. Saya sentiasa berusaha untuk uruskan kewangan saya tanpa membuat pinjaman dan hutang yang tidak perlu. Alhamdulillah setakat ini, untuk perniagaan tudung Ilham Qaseh, saya memang tidak pernah membuat pinjaman. Modalnya menggunakan simpanan sendiri dan seterusnya saya pusing kos dan keuntungan sedia ada. Bagi saya, biarlah saya bangun perlahan-perlahan asalkan terus bertahan dan konsisten.

“Buat masa sekarang saya mahu fokus dengan online dan gudang Ilham Qaseh. In shaa Allah jika ada rezeki, saya juga mahu mempunyai show room sendiri nanti tapi bukan pada masa sekarang. Lima tahun akan datang juga saya memasang impian untuk mempunyai cabang bisnes lain selain terus mengukuhkan perniagaan-perniagaan sedia ada. Ada yang mencadangkan agar saya mengeluarkan produk kecantikan namun kalau ditanya pada saya, saya lebih mengidam untuk mengusahakan butik kafe kerana saya memang suka masak,” optimis Rosnizan mengukir impiannya.

 “Makanan Umpama Racun!”

Cukup menggemari fesyen yang simple dan elegan.

“Daripada segi penjagaan luaran, selain mengambil supplement, saya juga sememangnya mempunyai personal aesthetic beautician and consultant. Saya akan pergi mendapatkan rawatan kecantikan dan kesihatan wajah serta tubuh badan di spa secara berkala. Selain itu, saya adalah pemakai bengkung yang tegar untuk menjaga bentuk tubuh badan. Satu lagi hal paling penting yang selalu saya pegang adalah, ‘makanan umpama racun!’. Penjagaan dan pemilihan makanan yang betul adalah sangat penting untuk menjaga kesihatan tubuh badan.

“Tidak hanya penjagaan luaran, penjagaan dalaman juga sama pentingnya. Saya adalah seorang yang selalu positif suka menyedut aura-aura positif di sekeliling saya. Saya tidak suka dengan kerja-kerja yang ‘stress’, lebih suka kerja dalam mood enjoy dan santai. Tudung Ilham juga sebenarnya memainkan peranan. Ia secara tidak langsung menyuntik aura dan perasaan mahu tampil cantik dan sentiasa bergaya dengan sendirinya,” ungkap anak sulung daripada lima orang adik-beradik ini.

Tiga Puluh Pasang Baju Raya

Bermula dari bawah, dengan usaha dan sikap tidak berputus asa, Rosnizan kini bergelar usahawan berjaya.

Bercerita tentang kemeriahan persiapan raya, suri hati Noruddin Mohammad ini akan pulang beraya di kampung halamannya di Kelantan. Ujarnya, rumah keluarganya selalu menjadi tempat berkumpul kaum keluarga dan saudara mara. Kebiasaannya setiap tahun, mereka wajib mengadakan kenduri rumah terbuka pada hari raya ketiga. Manakala untuk persiapan baju raya pula, ibu kepada Iman Ihtisyam,14, Iman Imtiyaz,11 dan Iman Iftikhar,9, ini selesa menyerahkan urusan persiapan baju rayanya seratus peratus kepada designer tailor tetapnya.

“Saya seorang yang simple dan tak cerewet. Selain beberapa pasang yang dibeli siap, biasanya ada tailor khas yang memang sudah biasa dengan saya. Mereka memang faham dan tahu cita rasa saya, jadi mereka yang akan menguruskan baju raya itu dari ‘A to Z’ termasuk pilihan warna, fabrik dan rekaan. Tahu-tahu saja baju raya saya dan keluarga dah siap. Memandangkan saya jarang shopping jadi persiapan raya selalunya adalah ‘all out’.. raya sakan orang kata.

“Untuk baju saya sahaja biasanya akan ada lebih 30 pasang baju baru termasuk baju yang ditempah, dibeli, baju raya glamor untuk rumah terbuka mahupun baju raya kasual. Untuk persiapan membeli baju raya anak-anak pula saya akan peruntukkan sehari sahaja dan all out beli semua persiapan dalam satu hari itu. Saya memang jenis tak suka pergi shopping macam orang lain. Berbanding baju raya, saya sebenarnya lebih boros menyediakan biskut raya!” ceritanya mengakhiri bicara.

error: Content is protected !!