Biarpun baru tiga tahun bertapak dalam dunia seni, siapa sangka malam tadi adalah malam paling indah pernah dilalui gadis tinggi lampai ini tatkala dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-31 (ABPBH 31).

Wany terharu dengan sokongan peminat yang meletakkannya sebagai Bintang Paling Popular 2018.

Kejayaan besar pelantun lagu Menahan Rindu ini dengan undian sebanyak 2,052,997 memberi indikasi bahawa populariti luar biasa yang diraih pelapis baharu industri seni atau sinonim dengan gelaran BBNU tidak boleh dipandang enteng.

Wany terlebih dahulu memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular menewaskan seniornya Siti Nordiana, Nur Fazura, Stacy dan Ara. Benarlah kejayaan seseorang artis itu tidak banyak tidak, bergantung kepada peminat-peminat setia yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

Bersama trofi Penyanyi Wanita Popular dan Bintang Paling Popular yang menjadi milik pelantun lagu Menahan Rindu ini.

 

Kemenangan itu melayakkan Wany membawa pulang sebuah kereta Citroen C4 Picasso berharga RM126,000 berserta trofi.

“Orang tak akan selamanya suka kita, jadi kita perlulah siapkan diri dan fikirkan sesuatu yang akan menjamin masa depan.

“Salah satu sebab Wany menyanyi adalah untuk kumpul duit sambung belajar ke peringkat sarjana, InshaAllah.

“Perancangan jangka panjangnya, Wany mahu jadi pensyarah. Tapi semua bergantung atas rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Imej dan personaliti sederhana yang dibawa menyenangkan ramai pihak.

“Jika memang ditakdirkan rezeki Wany berterusan dalam bidang seni, Wany akan teruskan. Namun andai kata suatu hari nanti, rezeki Wany bukan lagi dalam bidang ini, sekurang-kurangnya Wany ada kerjaya tetap.

“Apa pun, semua bergantung kepada rezeki. I’ll just go with the flow,” akui pemilik nama penuh Nurshazwany Hasrita Hasbullah ini.

 

TRIVIA WANY HASRITA

  • Suka pakai tudung bawal dan dulu tak suka make-up tebal. Kalau keluar hanya sapu bedak serbuk
  • Ambil makanan tambahan seperti kelapa dara untuk mengembalikan tenaga dan menambah stamina
  • Ada orang tegur muka Wany nampak macam sombong. Tapi kalau tak kenal maka tak cinta kan?
  • Wany sangat suka makan masak lemak cili padi daging salai!
  • Pandai masak kari daging, tapi jarang masak sebab selalu tak habis kalau makan berdua dengan ibu jer..
  • Suka dengan warna-warna yang bold and rich
  • Mempunyai ketinggian 164cm dan berat badan lebih kurang 51kilogram
  • Cover Hijab Fesyen ini adalah cover majalah pertama Wany secara solo

 

 

Foto: Saiful Bahari Ashari (Utusan)

 

error: Content is protected !!