Kenapa Wajib Beli HIJAB FESYEN OGOS

Cukup dikenali sebagai ‘Puteri Reformasi’, YB Nurul Izzah Anwar, 38, puteri sulung kepada pasangan figura tersohor negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail terus menjadi inspirasi buat seluruh masyarakat Malaysia terutama golongan wanita dalam memahami erti sebenar sebuah perjuangan.

Walau dihambat liku yang tak pernah lurus, srikandi kesayangan ramai ini diangkat sebagai idola ramai wanita muda hari ini yang begitu kagum dengan kecekalan dan pengorbanan beliau berjuang untuk  menegakkan keadilan buat bapa kesayangannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akhirnya selamat kembali ke pangkuan keluarga pada tarikh keramat 15 Mei 2018.

“Ketika kami susah, ramai yang tak henti-henti memberikan dorongan untuk saya mendokong perjuangan menegakkan agenda reformasi dan keadilan. Sehingga ke hari ini, semampu mungkin saya ingin sentiasa mengukir senyuman kerana saya masih ingat rakyatlah yang membantu membebaskan papa saya, rakyatlah yang bersama kami. Senyuman ini adalah penghargaan buat mereka di luar sana yang sentiasa mendoakan yang terbaik buat saya dan keluarga.

“Sebagai anak, sudah tentulah saat paling bahagia adalah keberadaan bersama ibu dan bapa. Kepulangan mutlak Papa ke pangkuan keluarga baru-baru ini adalah nikmat Allah yang paling manis. Kami sekeluarga amat bersyukur. Tiada lagi jeriji besi yang memisahkan, penantian kami telah berganti dengan airmata kegembiraan dan kesyukuran,” kongsi Nurul Izzah tentang kebahagian terbaharu mereka sekeluarga.

Hijab Fesyen juga turut mendalami sisi lain Nurul Izzah dan keakraban beliau dengan ibu tercinta, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Melihat peribadi yang ada pada Nurul Izzah, terserlah acuan yang dibentuk kedua orang tuanya, saling tak tumpah dengan personaliti yang ada pada Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Begitu juga apabila bercakap tentang fesyen dan kecintaan dua beranak ini terhadap tudung bawal dan pakaian tradisional kurung dan kebaya. Tidak sedikit pun mengurangkan skala kejelitaan semula jadinya, malah tetap santun menawan dengan persalinan tradisi. Menjadi pencinta tudung bawal sedari dahulu, datanglah fesyen hijab semoden mana pun, Nurul Izzah kekal anggun dengan gaya minimalis namun punya aura tersendiri.

Berkongsi tentang tip cantik Nurul Izzah, beliau juga seperti wanita lain yang amat mementingkan kesihatan. Ujar beliau, cukup dengan banyakkan minum air kosong, mengamalkan minyak kelapa dara, madu tualang selain diet yang seimbang dan bersenam untuk kesihatan fizikal, mental dan spiritual,” tambahnya lagi.

YB Nurul Izzah juga berkongsi dengan Hijab Fesyen, pengakuan beliau sekiranya hari ini tidak terlibat dalam kancah politik, mungkin kerjaya beliau sekarang tidak sesibuk hari ini. Nak tahu apa jawapan Nurul Izzah, jom dapatkan Hijab Fesyen keluaran terbaharu Ogos 2018 kini di pasaran.- HF

Kredit foto: Pinography