Lepak, santai dan makan dengan RM8.90 di KARYABHARA @ KARYA HIPSTER CAFE

Garapan dekorasi dalaman kafe separa kayu dan bata yang terletak di Cyberjaya ini menyerlahkan jiwa artistik si pemilik. Kerusi kayu santai dan ruang shisha menyambut kedatangan pelanggan di sudut luar. Sempoi dan santai.

Ruangan luar pintu kafe tidak dibiarkan kosong

Selain persekitaran ruangan kafe yang sangat selesa, harga makanan yang ditawarkan di kafe Karyabhara @ Karya Hipster Cafe ini juga berpatutan bukan sahaja untuk golongan pelajar tetapi juga untuk yang berkeluarga.

Terdapat lebih 20 jenis sajian fusion dan barat ditawarkan pada harga bermula hanya RM8.90 sehingga RM20. Menurut pemiliknya, Jumaitul Lalily Zakiah, setiap menu di sini merupakan cetusan idea dan cita rasa mereka sekeluarga.

Minuman signatur di Karyabhara, Creamy Hot Chocolate

Nasi Lemak Special dengan sambal udang yang memikat selera

Antara menu yang menjadi signatur serta kegemaran para pelanggan adalah Nasi Lemak Special, Creamy Hot Chocolate, variasi burger dengan patty yang dibuat sendiri dan pelbagai lagi.

“Kafe ni selalu dijadikan port pelajar kolej dan universiti di sekitar Cyberjaya terutamanya menjamu selera sambil study dalam suasana yang santai dan relaks.

“Kami sediakan banyak soket di setiap sudut untuk yang bawa komputer riba dan tablet. Kebanyakan yang datang ke sini  suka lepak lama-lama sebab rasa seperti berada di rumah,” ujar Jumaitul.

Idea serta konsep kafe ini sebenarnya merupakan cetusan ilham bersama adiknya, Syafiq Ehsan. Menurutnya, bapa mereka adalah antara tulang belakang yang menjadi sumber inspirasi mereka mengusahakan kafe milik adik-beradik ini.

Ruang busking yang comel dan jadi port bergambar

Pentas kecil dengan ‘sofa kayu’, kotak radio lama dan alatan muzik di sebelah pintu masuk kafe menghiasi halwa mata. Dinding kayu yang dipenuhi gantungan gitar dan saksofon lama melatari sudut ini tampak vintaj.

“Kebanyakan hiasan termasuk gitar, saksofon mahupun lukisan khat di dinding merupakan hadiah daripada kawan-kawan adik dan ayah. Ada juga yang kami beli apabila melancong ke luar negara. Semuanya sangat istimewa dan mempunyai nilai sentimental tersendiri.

“Kami pamerkan sebagai hiasan di kafe ini sebagai tanda penghargaan. Ada juga hiasan serta perabot di kafe ini yang kami jual kepada para pelanggan tetap yang selalu bertanya dan berminat untuk memilikinya,” ujarnya.

Loteng di bahagian atas yang sangat sempoi

Terbahagi kepada dua ruang, bahagian bawah kafe ini mampu menempatkan lebih kurang 70 orang pada satu masa dan sesuai untuk para pelanggan menjamu selera sambil menikmati persembahan busking di pentas kecil yang disediakan.

Bahagian ‘loteng’ atas pula dijadikan sudut santai yang lebih privasi. Ruang ini boleh memuatkan lebih kurang 20 orang dan sering ditempah khas untuk majlis sambutan hari lahir, gathering atau yang bersesuaian. -HF

 

INFO

Alamat: 37-G, Biz Avenue 2, Neocyber, Lingkaran Cyber Point Barat, Cyberjaya.

Telefon: 0177354556

Instagram: @karyahipstercafe

error: Content is protected !!