MIA AHMAD belum ada nama ANAK

Menjadi impian semua yang bergelar isteri untuk menjadi seorang ibu. Walaupun pernah keguguran akhir tahun lalu, pelakon cantik Mia Ahmad bersyukur kerana doanya untuk menimang cahaya mata bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Mia atau nama sebenarnya Samihah Ahmad Baderi yang berkahwin dengan penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan pada 13 Januari tahun lepas, kini sedang menunggu detik indah bergelar ibu.

Mia yang kini menetap di Johor Bahru selepas berkahwin,masih belum menetapkan hospital mana di JB yang menjadi pilihan untuk kelahiran sulungnya nanti.

“Saya dijangka bersalin pada hujung September, tetapi setakat hari ini belum buat keputusan lagi nak bersalin di mana. Tapi mungkin di hospital yang saya selalu buat check up.

“Selepas beberapa kali scan, In shaa Allah kami akan timang bayi lelaki. Persiapan dah hampir 90 peratus siap cuma ada beberapa perkara lagi yang belum settle.

“Saya pun macam bakal ibu yang lain memang teruja nak jadi ibu. Tapi tetap nervous sebab ini anak sulung. Saya banyak buat preparation, homework, beli buku parenting untuk baca tentang persediaan menjadi ibu.

“Selain itu, saya banyak bertanya pada ibu saya sendiri, dengan kawan-kawan yang dah ada anak tentang persediaan lain yang saya kena buat sebelum dan selepas bersalin nanti.

“Sepanjang first trimester, saya alami morning sickness yang teruk jadi saya balik duduk dengan keluarga di Perak.

“Walaupun terpaksa berjauhan dengan suami untuk beberapa bulan, tapi saya tak rasa terganggu sangat sebab kat kampung ada mak dan ayah yang tolong tengok-tengokkan saya,” kongsi Mia yang kembali ke JB selepas keadaannya kembali sihat.

Bercakap tentang pemilihan nama buat bayi sulung mereka, jelas Mia perkara itu masih belum ada kata putus kerana masing-masing ada cadangan nama sendiri nak diberikan kepada anak.

“Dah ada beberapa nama dalam senarai cuma belum diputuskan sebab saya masih berbincang dengan suami nama yang paling sesuai untuk anak,”ujarnya yang akan menjalani tempoh berpantang di JB dan akan diuruskan oleh pakej penjagaan ibu dan anak kendalian Natalis Mother Care.

Mengenai perancangan selepas bersalin pula, jelas Mia dia mungkin akan mengambil masa yang agak lama untuk kembali aktif berlakon.

“Lepas kahwin, memang Mia menetap di JB jadi susah sikitlah kalau nak shooting kat KL. Tambah lagi kalau dah ada anak nanti, komitmen pasti bertambah. Tak tahu berapa lama saya akan berehat, perkara itu saya belum fikir lagi.

“Memang rindu sangat nak berlakon balik, rindu nak kembali ke set tapi mungkin perancangan akan banyak berubah sebab kena fikirkan anak, tengoklah macam mana nanti.

“Tambah lagi dengan macam-macam kes pasal bayi sekarang ni lagi buat saya risau dan skeptikal. Takut nak bagi orang lain jaga, rasanya biarlah saya jaga sendiri. Kalau nak berlakon balik pun nanti,  saya hanya percaya pada famili terdekat saja untuk tolong jagakan anak saya nanti,” ujarnya ketika dihubungi HF.

Kredit foto: Instagram @mia.ahm4d