Nurin Afiqah Obses Zumba

Kelibat lincah si cantik manis Nurin Afiqah Zulkifli, 21 berzumba waima masih anggun bertudung litup ini sering mencuri perhatian. Selain aktif sebagai instruktor zumba, Nurin juga merupakan model Muslimah. Anak kelahiran Selangor ini berkongsi obsesi zumba dan rutin sihatnya bersama Hijab Fesyen.

Mula-mula terjebak dengan zumba. Boleh ceritakan?
Nurin sangat suka dan aktif menyertai pertandingan tarian sejak sekolah rendah, begitu juga ketika sekolah menengah. Justeru, bila ternampak kumpulan ‘menari sambil bersenam’ setiap kali mengikut ayah ke pusat gim di UiTM, Shah Alam, Nurin terus jatuh cinta dan teringin turut serta. Kebetulan, ayah merupakan pensyarah sukan di sana. Jujurnya, masa mula-mula join dulu saya tak tahu istilah ‘tarian’ itu adalah zumba. Tambahan pula, pada ketika itu zumba belum popular, ia lebih kepada aerobik. Jadi dari situlah saya mula berjinak-jinak dengan aerobik seterusnya sekarang ini zumba.

Apa beza aerobik dan zumba?
Bagi Nurin, aerobik itu lebih tertumpu pada gerakan berbentuk senaman. Manakala zumba merupakan kombinasi tarian, muzik dan gerakan senaman yang lebih lincah.

Pengalaman jadi instruktor?
Secara rasminya, saya dapat sijil jadi instruktor pada Julai 2016. Pengalaman paling seronok setiap kali jadi instruktor adalah apabila buat rutin atas pentas atau depan peserta dan dapat tengok semua orang enjoy ikut kita buat gerakan zumba. Keluarkan peluh dengan cara yang sihat, happening dan menghiburkan.

Ada yang kata zumba kurang sesuai dengan Muslimah bertudung. Pendapat anda?
Memang kerap juga saya dihujani dengan pendapat dan kata-kata sebegitu tapi saya lebih suka memilih untuk tolak segala negative vibes ini kerana saya tahu apa yang saya lakukan. Kelas saya hanya dikhaskan untuk perempuan, manakala bagi acara melibatkan orang awam dan dibuat secara terbuka pula kami akan lebih berjaga-jaga dan memilih gerakan yang bersesuaian serta tidak keterlaluan.

Pencapaian peribadi sepanjang zumba?
Saya pernah mengumpulkan lebih 30 orang peserta termasuk kanak-kanak untuk buat flashmob di hadapan ratusan pengunjung ketika Food Mega Festival, The Strand dan saya juga sedang merancang beberapa lagi flashmob lain dalam masa terdekat. Alhamdulillah, sekurangnya-kurangnya saya dapat buktikan bahawa hijabi bertudung seperti saya juga dapat aktif dan maju dengan zumba walaupun tetap ada limitasi yang perlu saya jaga sesuai dengan penampilan.

Bagaimana bahagikan masa antara pelajaran, peragaan dan sebagai instruktor zumba?
Sejujurnya saya tak rasa diri sebagai seorang yang terlalu sibuk. Sebenarnya, paling penting jadual kita perlu diuruskan dan diisi dengan betul. Aktiviti-aktiviti zumba mahupun modeling itu adalah untuk mengisi ruang kosong dalam jadual harian saya supaya digunakan untuk perkara-perkara yang bermanfaat selain dapat menambah duit poket. Jadi tidak timbul isu susah bahagikan masa.

Amalan kesihatan yang dipraktikkan selain zumba?
Segala-galanya bermula dengan cara pemakanan. Saya memang seorang yang menitik beratkan soal pemakanan, antaranya tidak minum air manis dan kurangkan makanan bergula. Saya banyak minum air kosong. Pengambilan makanan juga dalam kuantiti yang sedikit namun sesuai untuk mendapat stamina dan tenaga yang mencukupi.

TIGA tip mencapai matlamat sihat yang telah ditetapkan.
1- Determinasi kita untuk buat dan disiplin dengan rutin sihat yang kita amalkan. Perlu ada fokus dan matlamat.
2- Believe in yourself! Kita sendiri perlu percaya diri bahawa kita boleh lakukan dan capai matlamat yang telah kita tetapkan.
3- Sebagai permulaan, kita perlu paksa diri kita. Nanti, perlahan-lahan kita akan tersuka dan bersemangat dengan sendirinya.

Prinsip yang jadi pegangan Nurin?
Kadang-kadang kalau terlalu mengikut, bergantung dan tunggu kawan kita susah nak bergerak dan maju. Kawan tak semestinya ada minat dan fokus yang sama dengan kita. Jadi kita kena jadi lebih berdikari, mengorak langkah sendiri untuk explore apa yang terbaik mengikut minat dan impian kita. Saya suka cari kelompok kawan-kawan berbeza untuk setiap minat dan hobi berbeza. Dari situ saya dapat lebih ramai kawan dan dapat luaskan lagi network.

 

error: Content is protected !!