Pelukan hutan hujan tropika TERTUA DI DUNIA di TAMAN NEGARA PAHANG

Bersimbiosis di belantara Taman Negara Pahang yang terjaga rapi, terasa hilang segala beban yang sarat di benak. Tidak sabar rasanya untuk menerokai sendiri keindahan khazanah hutan hujan tropika tertua di dunia ini, lebih tua daripada hutan Amazon! Buat si pencinta alam semulajadi dan aktiviti mencabar, kunjungan anda ke sini pastinya tidak sia-sia.

Perjalanan menaiki bas dari Kuala Lumpur menuju ke Kampung Kuala Tahan mengambil masa lebih kurang tiga jam. Tiba di jeti Kuala Tahan, kami kemudiannya dibawa menyeberang sungai untuk ke Mutiara Resort Taman Negara yang menjadi tempat penginapan kami selama tiga hari dua malam. Ini itinerari aktiviti-aktiviti menarik yang telah diatur sepanjang 2 hari 1 malam di sana.

BERJALAN MALAM (NIGHT WALKING)
Aktiviti ini merupakan aktiviti pertama sebagai pemanas badan selepas istirahat dan bersiar-siar di sekitar resort pada sebelah siang. Pemandu arah yang sememangnya berpengalaman luas tentang khazanah hutan Taman Negara sedia menemani dan memberi penerangan tentang kepelbagaian spesies flora dan fauna di sini. Melihat kepelbagaian fauna termasuk ular, kala jengking dan rusa walaupun hanya mampu melihat matanya yang bercahaya disuluh lampu dari kejauhan sudah cukup membuatkan saya dan rakan-rakan dalam trip yang sama merasa teruja. Tidak perlu risau tentang keselamatan mahupun kehadiran haiwan berbisa termasuk pacat kerana pihak Taman Negara telah menyediakan platform pejalan kaki yang memudahkan pergerakan para pengunjung.

JUNGLE TREKKING
Keesokan paginya, bermulalah aktiviti jungle trekking ke bukit Teresek. Bereksplorasi dan berkenalan dengan khazanah hutan Taman Negara menghadirkan pengalaman yang cukup mengujakan. Membelek spesis flora dan fauna yang jarang dilihat bahkan tidak terdapat di tempat lain membuatkan eksplorasi ini cukup berbaloi. Bertemankan alunan muzik alam, panorama segar dan udara nyaman dalam pelukan rimba umpama terapi diri yang cukup sempurna dan mengasyikkan. Tidak terasa penat perjalanan yang mengambil masa hampir tiga jam setengah itu.

CANOPY WALK TERPANJANG DI DUNIA
Di samping jungle trekking, anda juga berpeluang mencabar fobia dan rasa gayat anda dengan berjalan di atas canopy walkway yang terdapat disini. Walaupun adrenalin terasa sedikit menderu dan cuak kala melalui jambatan gantung yang bersambungan sepanjang 530 meter dan 50 meter tinggi ini, sempat juga kami bergambar dan menikmati keindahan panorama hutan dara ini dari atas jambatan. Pasti bangga dan seronok setelah melepasi canopy walkway terpanjang di dunia ini dengan jayanya!

RAPID SHOOTING KE KAMPUNG ORANG ASLI
Seterusnya, kami menaiki bot panjang menyusuri Sungai Tahan ke Kuala Trenggan untuk melawat perkampungan orang asli suku ‘Batek’. Leka pula apabila sesekali terkena percikan air sambil melihat pemandangan rumah-rumah dan perkampungan orang asli yang terdapat di pesisir sungai. Apabila tiba di perkampungan yang dikhaskan untuk kunjungan, para pelancong diberi taklimat ringkas tentang aktiviti dan cara hidup mereka di situ yang masih mengamalkan cara hidup secara nomad termasuk bercucuk tanam, mencari hasil hutan dan berburu.

PIKNIK TEPI SUNGAI
Selesai kunjungan ke kampung orang asli, kami kembali meneruskan perjalanan dengan sampan yang lebih kecil. Seronok pula bergelut mengharungi bahagian-bahagian berbatu dan sedikit cetek sepanjang laluan menuju ke Lubuk Tenor untuk berkelah tepi sungai. Sambil itu, saujana pandangan juga terus dipersembahkan dengan lataran pemandangan pohon-pohon besar dan rimbun tepi sungai serta juraian akar jatuh. Indah dan mempesonakan! Jika bernasib baik, anda boleh melihat burung-burung yang hinggap di dahan pokok. Di sini, terdapat lebih 300 spesies burung dan antara lokasi popular untuk bird-watching. Tiba di lokasi, perut yang berkeroncong kelaparan melonjak gembira dengan persembahan sajian tengah hari di atas sampan yang disediakan khas oleh pihak Mutiara Taman Negara Resort.

LATA BERKOH
Lokasi terakhir kami adalah kawasan air terjun Lata Berkoh. Menuju ke sana, kami turut berhenti di beberapa pit stop menarik iaitu santuari kelah dan juga melihat pokok tualang gergasi. Kemudian, sekali lagi anda perlu meredah hutan lebih kurang 2 kilometer untuk ke kawasan mandi-manda. Walaupun penat, namun kepenatan tersebut seakan berbayar apabila sampai di Lata Berkoh. Terpaku sejenak melihat keindahan alam ciptaan Tuhan ini. Air terjun yang mengalir dari Gunung Tahan membentuk batuan seperti jakuzi semula jadi yang cukup unik dan mempesonakan. Berendam dalam kedinginan air, bagai terbang segala kepenatan meredah hutan, menyusuri sungai, mahupun rasa gayat di canopy walkway.

Sememangnya pengalaman berkenalan dengan khazanah alam hutan Taman Negara yang sangat bernilai harganya adalah satu momen indah dan mengujakan. Tarikan eko-pelancongan yang wajib ada dalam senarai percutian anda! – HF

 

Terima kasih: Mutiara Resort Taman Negara

error: Content is protected !!