Percutian Adventure Tapi Eksklusif di Tanah Aina Farah Soraya

Lari sebentar daripada segala macam masalah dan relaks sambil bersimbiosis bersama alam semula jadi umpama penawar mujarab setelah saban hari menghadap hutan batu di kota. Peluang menjengah ke Tanah Aina Farah Soraya di sempadan Bentong dan Raub, Pahang ini sememangnya satu terapi yang cukup sempurna.

Jauh di tengah hutan rimba nan menghijau dan sukar mendapat talian telefon mahupun internet, di sini anda boleh berehat sepenuhnya. Relaks dengan cara anda sendiri sama ada ingin bersantai menikmati suasana alam atau bergembira dengan pelbagai aktiviti lasak yang tersedia di sini.

Sibuk dengan kerja yang tak pernah habis, mungkin anda jarang berpeluang untuk beriadah. Keluarkan sedikit peluh sambil jungle trekking ke kawasan air terjun. Sambil itu bolehlah menjamu mata dengan kehijauan alam dan suasana hutan tropika yang masih kekal terjaga sepanjang perjalanan.

Di hujung perjalanan nanti, anda akan disambut dengan deruan air terjun. Dingin dan segar! Bukan sahaja seronok bermandi-manda dengan airnya yang bersih dan sejuk, bahkan anda boleh mencabar keberanian diri dengan membuat aksi ala ‘terjunan papan anjal’. Aksi wajib cuba jika dah sampai ke sini.

Selain jungle trekking, Tanah Aina Farah Soraya juga menyediakan kemudahan untuk aktiviti flying fox. Lepaskan segala tekanan dan menjerit sepuasnya di sepanjang tali yang merentangi separuh daripada ‘kanopi hijau’ Tanah Aina Farah Soraya. Pasti puas dan lega terasa selepas itu. Jangan gusar dan takut. Segala aktiviti lasak anda di sini dipantau sepenuhnya oleh kakitangan terlatih yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan anda.

Di samping itu, anda boleh juga menikmati kedinginan air sungai nan jernih di tepi bilik penginapan. Bermandi-manda sambil bermain dengan ikan-ikan kelah yang berenang-renang di sekeliling anda tentunya pengalaman yang sukar anda dapati di mana-mana. Tapi, maaf untuk si kaki pancing… di sini anda tidak boleh memancing!

Sememangnya menikmati deruan air sungai yang mengalir tenang umpama irama yang cukup menyenangkan di corong telinga sambil disajikan dengan santapan udara segar dan hamparan rimba yang menghijau. Cukup berbaloi beraktiviti dan relaksasi minda di resort mewah di tengah hutan tropika ini. –HF

Kredit Foto: Hijab Fesyen dan tanahaina.com

error: Content is protected !!