Selamatkah IRAN? Rozani Heng Meneroka Keunikan Iran yang Penuh Konflik

Punya jiwa kembara dan sentiasa mahu mencuba sesuatu tempat yang baharu, saya beranikan diri menjejakkan kaki ke republik Islam yang penuh konflik ini – Iran. Sebelum ke sini, kami banyak disogok tentang pertelingkahan antara aliran Syiah dan Sunni yang begitu hangat dikaitkan dengan negara ini. Selain itu antara soalan panas yang juga banyak ditanya adalah, “selamatkah Iran?”. Alhamdulillah, Iran adalah negara yang selamat untuk diterokai dan sudah hampir tiga puluh tahun bebas dari peperangan. Mereka amat mengalu-alukan kehadiran pelancong ke sini. Oh, mungkin ada yang terkeliru antara Iran dan Iraq, kedua-duanya adalah negara yang berbeza!

Rozani Heng

Negara timur tengah yang terletak di bahagian barat daya Asia ini mempunyai keistimewaan dan keindahan panorama tersendiri daripada segi gunung ganang, padang pasir dan pelbagai lagi. Keunikan budaya, seni bina bangunan dan tinggalan sejarah juga menjadi daya penarik. Bahasa utama penduduk di Iran bukan bahasa Arab tetapi bahasa Parsi. Walaupun kebanyakan mereka tidak begitu fasih berbahasa Inggeris namun kami bernasib baik kerana memperoleh pemandu pelancong yang boleh berbahasa Inggeris. Mohamad banyak membantu memudahkan dan melancarkan pergerakan kami di sini.

Memandangkan jumlah hari kami di sana adalah terhad dan tidak mencukupi, kami mengambil keputusan menyewa kereta bersama pakej pemandu kerana perjalanan antara satu tempat ke satu tempat tersangatlah jauh. Bagi makluman, tiada insurans perjalanan disediakan bagi sesiapa yang berhajat untuk ke sini. Namun daripada sumber yang kami peroleh, anda boleh membeli insurans tersebut di lapangan terbang Tehran pada harga sekitar RM50.  Semasa kunjungan tersebut, kami hanya tawakal dan ‘kamikaze’ sahaja. Nasihat saya, seeloknya anda beli insurans terbabit sebagai perlindungan dan keselamatan, jangan mencontohi kami dalam soal ini!

Keindahan seni bina kubah di pintu gerbang Masjid Shah Isfahan

Hari Pertama
Kami bertolak pada jam 7.00 malam dari lapangan terbang KLIA menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini, Tehran. Perjalanan yang memakan masa hampir sembilan jam itu akhirnya tiba pada pukul 11.50 malam waktu tempatan (3.50 pagi waktu Malaysia). Sejurus tiba di lapangan terbang kami terus bergerak menuju ke Isfahan. Kunjungan kami itu adalah pada musim sejuk dengan cuaca pada ketika itu sekitar -4 darjah celsius. Memang mencabar apabila mahu mengambil wuduk untuk bersolat. Kami begitu teruja saat menjejakkan kaki ke Isfahan. Lorong, dinding, bukit dan segalanya di sini nampak begitu cantik dan indah. Selepas bersarapan, kami terus bergerak ke lokasi-lokasi menarik yang telah dirancang. Hari pertama ini kami sempat menghabiskan kunjungan ke Nasqsh Square, jambatan Khaju, Masjid Sheikh Lotfollah, Masjid Shah, bazaar Isfahan dan jambatan Si-o-se. Kami meminta bantuan pemandu untuk menguruskan penginapan pada hari tersebut dengan kadar bayaran sebanyak 10USD setiap seorang.

Pemandangan di kiri kanan jalan yang hanya dipenuhi bukit bukau berpasir
Bersama rombongan kecil dan pemandu pelancong kami sepanjang di Iran

Hari Kedua
Pengembaraan kami untuk hari seterusnya semakin menarik. Jarak perjalanan antara Isfahan ke lokasi kami seterusnya, Shiraz adalah sangat jauh. Waktu kami habis di dalam kereta dengan perjalanan yang memakan masa lebih dari sembilan jam. Setibanya di Shiraz, hari  sudah pun gelap. Kami menunggu Couchsurfing (CS) host  kami, Mohamad Foorozani di Quran gate. Kami mengekori Foorozani untuk ke rumahnya yang terletak di FARS. Perjalanan memakan masa hampir 30 minit. Setibanya ke perkampungan Foorozani, perkataan pertama keluar dari mulut “wow, pandai aku cari CS!”. Saya cukup berpuas hati. Bagi yang tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan CS, anda boleh muat turun dan mengisi permohonan Couchsurfing host di google.  Anda berjaya mengurangkan kos penginapan jika permohonan anda itu diterima.

Pemandangan berbukit bukau di Qalat Village

Hari Ketiga
Berdasarkan itinerari, kami sepatutnya bergerak ke Pink Mosque, tetapi disebabkan hari Jumaat ketika itu masjid tutup. Jadi kami mengambil keputusan untuk explore sebuah perkampungan tersembunyi di sini iaitu Qalat Village. Kampung yang cukup indah dengan pemandangan gunung, hutan dan air terjun ini penuh dengan keunikan yang tersendiri. Menurut host kami, Qalat Village adalah perkampungan  lama di mana semua penduduk telah berpindah randah ke bandar yang besar dan ditinggalkan. Kemudian dibangunkan semula oleh penduduk yang ada di antaranya adalah tokan dadah! Kami adalah rakyat Malaysia perempuan pertama yang sampai ke situ. Terkejut sungguh kami ketika mendengar kenyataan itu. Nasib baik kami selamat dan tiada apa-apa yang buruk berlaku.

Siluet tingkap berwarna-warni dari bahagian dalam Masjid Nasir Al Mulk, Shiraz apabila terkena pancaran matahari
Berlatarkan monumen purba di Persepolis

Hari Keempat
Setelah bersarapan, kami bergerak ke Nasir Almolk atau lebih dikenali sebagai Pink Mosque. Cadangan waktu terbaik untuk ke Pink Mosque ini adalah pada pukul 8.00 pagi kerana cahaya matahari yang masuk pada waktu itu menjadikan masjid ini kelihatan lebih cantik. Namun setibanya di sana, waktu sudah pun menjangkau pukul 11:00 pagi dan masjid akan ditutup pada pukul 12:00 tengah hari sebelum dibuka semula pada pukul 2:30 petang. Alhamdulillah ketika itu cahaya matahari masih ada. Kata penjaga di sana, nasib kami sangat bertuah pada hari itu. Selepas makan tengah hari, kami bergerak menuju ke Persepolis iaitu empayar Alexander The Great. Persepolis adalah antara bandar terkaya di dunia – monumen Empayar Achaemenid.

Hari Kelima
Kami teruskan pengembaraan ke Yadz. Kami sempat singgah di bandar Arbarkoh yang menempatkan sebuah takungan air lama untuk digunakan ketika musim panas. Takungan ini berusia lebih 4000 tahun dan dipercayai ditanam oleh Nabi Noh a.s. Di Yadz, kami ke Sar Yard Fortress, bandar lama Yadz, Towers Of Silence dan Bazaar Yadz.

Hari Keenam
Daripada Yadz, kami akan bergerak ke Isfahan dan Tehran. Paling saya suka, kerana saya berpeluang memandu kereta manual dengan stereng di sebelah kiri. Memang mencabar. Perjalanan disajikan dengan pemandangan gunung yang dipenuhi salji. Subhanallah indahnya! Perjalanan tidak membosankan dengan pemandangan separuh padang pasir dan separuh salji. Apabila menyewa kereta, perkara paling seronok adalah kita boleh berhenti di mana sahaja kita suka. Teruja dengan salji yang memutih, kami berhenti di tepi jalan untuk bergambar. Setibanya di Tehran, kami bermalam di rumah Mohamad iaitu pemandu kami. Siapa sangka kami boleh duduk sebumbung dengan kaum Syiah yang sering menjadi isu di kalangan kita. Bagi saya mudah, hanya perlu jaga akidah kita dan hormati walau siapa pun mereka.

Dapat main salji tepi jalan pun dah cukup buat kami seronok!

Hari Ketujuh
Bangun pagi, Mohamad memberitahu ada salji turun. Laju sahaja kami melompat membuka tingkap. Teruja bukan main bila dapat tengok salji depan mata.Kami segera bersiap-siap untuk bermain salji di depan rumah.  Setelah puas bermain salji, kami bersiap-siap untuk menghabiskan hari terakhir kami dengan menerokai keunikan kota Tehran. Di sini, kami berkunjung ke Azadi Tower, Milad Tower, Golestan Palace, The National Jewels Treasury, Tehran Bazaar dan Tajrish Bazaar. Setelah itu, kami segera pulang dan berkemas untuk pulang ke tanah air pada awal pagi. Sekuriti di lapangan terbang Tehran ini mengasingkan lelaki dan perempuan. Kami menaiki pesawat pada pukul 12.05 pagi waktu tempatan dan tiba pada pukul 1.00 petang waktu Malaysia.