Si Comel Tunggu Anda di Cat Signature.. MEOW!MEOW!!

Anda pencinta si meow? Cat Signature Cafe & Studio antara kafe yang wajib menjadi persinggahan dan tempak lepak kegemaran anda. Berkonsepkan kafe dan studio kucing, ia sedia menyambut anda yang obses dengan binatang peliharaan popular yang cukup jinak dan comel ini. 

Bagi yang tidak meminati kucing, tidak perlu risau untuk menjamu selera di sini. Bahagian studio dan kafe sememangnya diasingkan. Terletak di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, kafe dua tingkat ini menempatkan ruangan kafe di bahagian bawah. Manakala tingkat atas pula diubahsuai sebagai studio khas untuk para peminat kucing bermain dan melayan kucing-kucing yang ada di sini.

“Awalnya saya mula berminat memelihara kucing semasa mengandungkan anak yang pertama iaitu Wan Adra Mikayla. Daripada hanya seekor akhirnya menjadi 50 ekor kucing! Ada pelbagai jenis kucing antaranya Mainecoon, Scottish Fold, British Short Hair, Exotic dan Sphynx.

Apabila dah terlampau banyak, saya dan suami, Datuk Wan Mohd Muzri Ramli akhirnya mengambil keputusan untuk membuka studio kucing dan kafe ini. Sekarang kesemua kucing yang dipelihara itu ditempatkan di studio Cat Signature.

“Para pelanggan yang mahu bermain dengan kucing-kucing ini boleh terus naik ke studio di tingkat atas walaupun tidak menjamu selera. Bayaran sebanyak RM 10 untuk dewasa dan RM 7 untuk kanak-kanak dikenakan bagi setiap 45 minit setiap sesi.

Para pelanggan dibenarkan berswafoto dan merakamkan gambar mahupun video bersama kucing-kucing ini. Kucing kesayangan yang paling digemari oleh pelanggan ialah jenis kacukan mainecoon iaitu Gosma dan Loli,” jelas pemiliknya, Datin Nur Syafira Mohd Zain.

Berkonsep moden, ruangan kafe di bahagian bawah dihias dengan dekorasi modest sesuai cita rasa kafe hipster semasa dan dipenuhi dengan koleksi hiasan-hiasan comel berunsurkan kucing. Menawarkan variasi menu ala Thai, terdapat lebih kurang 20 jenis menu makanan dan 25 seleksi minuman panas dan sejuk untuk dinikmati.

Antara hidangan istimewa yang menjadi signatur dan sering dipesan adalah thai noodle, set kombo nasi putih bersama tomyam dan telur dadar serta home made aiskrim kelapa. Semua menu di sini boleh dinikmati dengan harga serendah RM4.90 hingga RM 16.90.

 

INFO:
Alamat: Cat Signature Cafe & Studio
Seksyen 8, Bandar Baru Bangi.
Waktu Operasi: 11 pagi hingga 11 malam
Hari: Setiap hari kecuali Jumaat
Instagram: @catsignature