Tidak cepat melatah setelah dikecam netizen gara-gara tidak senang dengan keputusannya untuk menari dalam muzik video single terbaharunya Pendusta Cinta, Wani menjelaskan konsep yang diketengahkan dalam muzik video tersebut adalah ideanya sendiri.

“Saya mengambil masa dua hingga tiga hari belajar step dan berbincang dengan penari-penari untuk menghasilkan konsep yang saya mahukan bagi lagu Pendusta Cinta.

“Jika diperharikan persembahan saya dalam muzik video itu tidaklah keterlaluan. Ia hanya step simple pada masa yang sama pakaian yang dikenakan masih sopan dan menutup aurat,” ujarnya yang menerima kecaman yang dilemparkan dengan hati terbuka.

Muzik video Pendusta Cinta menjadi bualan netizen kerana Wani mengambil keputusan untuk menari dalam video tersebut.

 

Menurut Wani, perkara tersebut menjadi bualan netizen kerana sebelum ini mereka melabelkan dirinya sebagai penyanyi nasyid dan lagu-lagu berunsur ketuhanan.

Apabila single baharu ini menampilkan kelainan dari segi sususan muzik dan konsep muzik video, orang luar mungkin sedikit keliru apa yang cuba disampaikan penyanyi berusia 21 tahun itu.

Katanya lagi, setelah lima tahun berada dalam bidang seni, kecaman dan pandangan negatif adalah lumrah kerana bukan semua orang suka dengan apa kita lakukan.

“Sudah tentu sebagai seorang penyanyi dengan imej berhijab, saya masih tahu akan batas-batas yang perlu dititikberatkan. Saya sudah fikir masak-masak sebelum buat keputusan untuk menari dalam muzik video tersebut.

“Penyanyi baharu semakin ramai, apa salahnya saya tampil dengan sedikit kelainan. Sebelum ini saya lebih kepada genre kerohanian tapi kurang menonjol.

“Mungkin selepas kelainan yang saya tampilkan dalam lagu Pendusta Cinta baru orang boleh bezakan saya dengan artis-artis lain yang sama nama seperti Wany Hasrita dan Wani Kayrie,” kongsinya lagi yang menjadikan Faizal Tahir dan Datuk Siti Nurhaliza sebagai inspirasi dalam bidang seni.

Wani sebelum ini dikenali sebagai penyanyi yang menyanyikan lagu-lagu ketuhanan.

Bercakap tentang single terbaharunya itu, kongsi Wani dia tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkan lagu tersebut dan hanya berurusan dalam aplikasi WhatsApp sahaja dengan DJ Fuzz.

Muzik video Pendusta Cinta nyanyian Wani (feat Waris) adalah ciptaan DJ Fuzz ,Hez Hazmi dan Wani sementara lirik hasil DJ Fuzz, Hez Hazmi , Wani dan Waris sudah mencecah 1 juta tontotan di YouTube.

Kini dalam rangka promosi Pendusta Cinta, Wani mengaku terpaksa berulang alik dari Johor ke KL jika ada urusan kerja kerana membantu perniagaan keluarganya yang berniaga kedai makan di Seri Medan, Batu Pahat.- HF