SYURA ubati kerinduan peminat terhadap lagu tradisional

Penyanyi bersuara lunak, Syura kini tampil dengan dua buah lagu hasil ciptaan Ibu Tutut Soeharto, anak mantan Presiden Indonesia di dalam album Symphony Tembang Melayu yang sudah pun menemui peminat-peminat di Malaysia dan Indonesia. Lagu berjudul Selamat Pagi Cinta dan Bersambut Kata berjaya membangkitkan kembali kerinduan peminat Syura dengan kemerduan vokalnya mengalunkan lagu-lagu irama tradisional.

Bersambut Kata, antara lagu nyanyian Syura di dalam album Symphony Tembang Melayu.

Syura atau nama penuhnya Zuraidah Badron, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Nazam Berkasih ini mula menyanyi ketika berusia 10 tahun. Banyak menyertai pertandingan nyanyian di negeri kelahirannya, Johor dan pernah bergelar juara sebanyak lima kali dalam Pertandingan Nyanyian Lagu Asli anjuran Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Johor sebelum masuk ke industri hiburan tanah air pada usia 14 tahun dengan menjadi artis di bawah Fantasia Music City (FMC).

Sejak itu, Syura, 32, aktif dalam bidang seni sehingga berjaya melahirkan tujuh buah album penuh. Namun selepas mendirikan rumahtangga pada 29 Mac 2006, kerjaya nyanyian Syura terhenti seketika bila mana mengambil keputusan pulang ke Johor bagi menumpukan perhatian pada keluarga.

Namanya kembali menjadi sebutan setelah hampir tujuh tahun ‘berehat’ apabila berjaya menjadi Juara MasterChef Selebriti Malaysia Musim Ke-2 pada tahun 2013. Walaupun sudah merancang pelbagai perkara selepas menjuari program tersebut namun  tidak dapat direalisasikan kerana kekangan menguruskan tiga cahaya mata iaitu Nurul Dania Irdani, 11, Nurul Qaisara Sofea, 9 dan Muhammad Irfan Aryan, 7 tahun.

Program Gegar Vaganza yang disertai tahun lalu disifatkan platform terbaik untuk membuka mata bukan sahaja peminat malah orang ramai tentang kebolehan sebenarnya dalam bidang nyanyian.

Penglibatan Syura dalam Gegar Vaganza (GV) musim keempat tahun lalu sekali lagi berjaya mengembalikan semula namanya yang pernah bersinar lebih sedekat lalu. GV disifatkan platform terbaik untuk buka mata peminat seni suara tentang bakat besarnya dalam bidang seni.

Menyentuh tentang kehidupannya sebagai ibu tunggal tiga anak, Syura tidak pernah menjadikan status itu sebagai penghalang untuk hidup gembira sebagaimana orang lain. Malah dia sentiasa positif dalam merencana masa depan bersama anak-anak.

“Alhamdulillah, walaupun banyak perkara kini perlu dilakukan sendiri dengan tanggungjawab yang semakin berat, saya gembira dengan kehidupan kami. Malah anak-anak juga sangat faham dengan kesibukan saya selepas kembali aktif dalam bidang seni.

Syura mahu aktif semula menyanyi untuk pastikan namanya tidak tenggelam untuk kali kedua.

“Saya selalu bercerita kepada anak-anak tentang tanggungjawab saya mencari rezeki untuk keluarga di mana kesibukan akan membuatkan saya tidak punya banyak masa lapang bersama mereka di rumah.

“Bila saya ada di rumah, mereka akan tanya “mommy tak pergi kerja ke hari ni?” Kemudian bila nampak wajah saya di TV, mereka tahu ibu mereka tiada di rumah kerana keluar bekerja.

“Anak-anak tinggal di bawah jagaan saya. Saya minta bantuan pembantu dan adik untuk menjaga mereka.

“Kalau ikutkan memang sedih terpaksa tinggalkan mereka di rumah tetapi bila saya terangkan kenapa saya perlu keluar bekerja, mereka cepat faham dan seronok bila tengok wajah saya keluar TV.

Syura bersyukur kerana kehadiran anak-anaknya sebagai pembakar semangat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni.

“Bila musim cuti sekolah pula, anak-anak akan bersama ayah mereka pulang bercuti di kampung,”ujar Syura yang masih berhubung baik dengan bekas suami demi kebahagiaan dan masa hadapan anak-anak.

Benarlah rezeki  itu ada di mana-mana selagi mana kita berusaha untuk mendapatkannya. Menurut Syura, pengalaman di Masterchef Selebriti dan ilmu dalam bidang kulinari yang dipelajari di UNITAR tidak dipersiakan.

Kebolehan memasak dimanfaatkan dengan terjun ke bidang perniagaan makanan yang diusahakan sendiri dengan nama Bekal Mak Kiter.

Bekal Mak Kiter menyediakan pelbagai jenis masakan Melayu dan ia adalah bisnes penghantaran makanan.

“Idea untuk tampil dengan Bekal Mak Kiter ini timbul apabila ramai bertanya tentang perancangan untuk membuka kedai makan selepas memenangi Masterchef Selebriti.

“Kos tinggi untuk buka kedai makan. Saya pun belum mampu dari segi kewangan dan komitmen, jadi saya usahakan bisnes kecil-kecilan ini dahulu sementara mengumpul modal untuk buka restoran pada masa hadapan,” katanya lagi.

Berjanji akan terus aktif dalam bidang nyanyian, lakonan dan bisnes.

TRIVIA

  1. Penggemar sushi.
  2. Sanggup travel untuk makan.
  3. Tidak takut pada ketinggian.
  4. Pernah buka butik pengantin di Johor Bahru.
  5. Suka semua perkara berkaitan kerja-kerja seni.
  6. Suka cuba benda baharu walaupun berlainan bidang.
  7. Dilahirkan daripada pertandingan nyanyian lagu-lagu asli.
  8. Tampak lembut tetapi sebenarnya seorang yang kasar.
  9. Suka gaya Agnes Monica, Zahirah Macwilson dan Neelofa.
  10. Selalu kena marah kerana lebih suka utamakan orang lain dari diri sendiri.- HF

 

Foto: Shahril Azman Zain

error: Content is protected !!