Tip SOLEKAN DIY Hadiri Majlis

Setiap hujung minggu, pasti ada undangan walimatul urus, majlis rasmi mahupun meraikan majlis hari jadi dan makan-makan sanak saudara serta kenalan. Pilihan busana yang menawan dan aksesori pelengkap gaya menjadi keutamaan kaum Hawa. Dah cantik-cantik, penampilan wajah dan solekan jangan dilupa! Seharusnnya solekan sesuai dengan acara yang dihadiri. Selain boleh belajar cara solekan asas yang betul di laman Youtube, anda juga boleh stalk laman sosial makeup artist popular yang mana anda berkenan. Oh, bukan orangnya.. tapi teknik solekannya! Mungkin ada asas solekan yang boleh anda pelajari. Ini juga beberapa tip solekan asas do-it yourself (DIY) yang boleh anda aplikasikan untuk menghadiri sesuatu majlis.

Penjagaan wajah
Cuci muka dengan air suam, gosok lembut dengan ais di wajah. Aplikasikan pemakaian pelembap tapi awas, pilih pelembap yang tidak berminyak.

Asas solekan
Bermula dengan memakai pembersih muka dan pelembap yang sesuai dengan kulit. Kemudian pilih bedak asas yang sesuai dengan tona kulit. Gunakan makeup sponge sesuai untuk menyapu dan menyekatakan bedak asas. Gunakan concealer untuk menyamarkan titik noda pada kulit. Disusuli compact powder yang sesuai dengan warna foundation. Penggunaan illuminiser juga mampu membuatkan solekan wajah lebih menyerlah. Solekan asas ini penting agar wajah kekal segar dan solekan tidak pecah atau cair walaupun berada di luar.

Mata menawan
Penggunaan eyeliner dan eyeshadow yang bersesuaian dengan warna busana sangat penting. Anda harus tahu tema majlis yang akan dihadiri. Solekan malam dan siang amat memainkan peranan supaya anda tidak canggung ketika tampil di majlis tersebut. Jangan lupa sempurnakan bahagian mata dengan aplikasi maskara.

Kilauan pipi
Selesai bahagian mata, kita beralih pada bahagian pipi. Pastikan solekan yang dikenakan menyerlahkan bahagian tulang pipi. Pipi yang diberi efek blush sekaligus menjadikan wajah kelihatan lebih segar. Sapuan hendaklah bermula dari buah pipi hingga ke penghujung tulang pipi.

Lirikan senyum di bibir
Lihat bentuk bibir anda. Jika tipis, serlahkan dengan melukis bentuk bibir menggunakan pensil bibir. Sebaliknya jika anda mempunyai bibir tebal, gincu jenis matte adalah paling sesuai. Ia membuatkan bibir kelihatan seksi dan ‘penuh’. Sapuan warna gincu mengikut tema majlis. Dan jangan lupa serlahkan bentuk bibir dengan sapuan pengilat bibir. Senyuman manis dengan solekan sempurna, pasti membuat yang lain terpesona dengan gayamu.